KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan tiada keretakan pada persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras, di sini.
KKR menerusi kenyataan ringkas di platform X pada Sabtu, memaklumkan pemeriksaan pada 11.30 malam tadi mendapati ia hanya kesan garisan hitam iaitu sendi pembinaan semasa kerja konkrit yang dibuat dahulu.
"Konsultan juga telah mengesahkan struktur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat. Satu laporan pemeriksaan dan pengesahan selamat akan disediakan dan dikemukakan kepada LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia)," menurut kenyataan itu.
KKR memaklumkan pemeriksaan itu dibuat oleh LLM, syarikat konsesi SPE dan pihak konsultan EDP, selain turut dimuat naik di platform media sosial itu ialah gambar semasa pemeriksaan dilakukan.
Pada Jumaat, seorang pemilik akaun X menyuarakan kebimbangan kemungkinan terdapat keretakan di jejambat tersebut berdasarkan dua keping gambar yang didakwa dirakamkan pada April lepas dan bulan ini
Ciapan itu mendapat reaksi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengarahkan LLM dan syarikat konsesi SPE membuat pemeriksaan dan penilaian segera di lokasi itu, kerana keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya menjadi keutamaan.
SPE yang dibuka sepenuhnya pada 3 November lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat serta menghubungkan beberapa lebuh raya lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!