[VIDEO] Dua gajah liar ganggu tanaman penduduk ditangkap

Iklan

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menangkap dua ekor gajah liar yang dilaporkan memusnahkan tanaman di ladang getah dan kelapa sawit di Bersia.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan kacau ganggu mamalia daripada kumpulan ID Belum itu diterima sejak Januari lalu sebelum melaksanakan operasi tangkapan.

Yusoff

Iklan
Iklan

Menurut beliau, operasi translokasi gajah jantan yang diberi nama Yob Malam dan Yob Embun itu dilakukan selama dua hari melibatkan kekuatan 24 kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Pahang; Santuari Gajah Johor dan Perhilitan Perak.

"Operasi memindahkan gajah pertama, Yob Malam berusia 24 tahun yang ditangkap pada Rabu lalu dilaksanakan hari ini dengan bantuan gajah denak, Rambai dan Sanum.

Iklan

"Khidmat gajah denak ini diteruskan bagi memujuk gajah kedua yang berusia 19 tahun pada esok. Yob Embun berjaya ditangkap pada Ahad lalu," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Yusoff berkata, kedua-dua gajah berkenaan akan dipindahkan ke habitatnya di Taman Negara Terengganu selepas selesai pengukuran morfologi dan dokumentasi.

Salbiah

Iklan

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed berkata, tindakan pantas kakitangan Perhilitan memberi kelegaan kepada penduduk untuk mencari rezeki di kebun berhampiran.

Menurut beliau, aduan keliaran gajah liar sering diterima melibatkan kawasan Bandariang, Sira Panas, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Kampung Bongor dan Kampung Umbut.

"Perkara inilah yang sering berlaku hingga menjadi rungutan penduduk kampung yang kadang kala sukar mencari rezeki kerana bimbang terserempak dengan gajah liar.

"Aduan diterima melibatkan kerosakan pokok getah, kebun pisang dan sebagainya. Setakat ini sahaja Perhilitan berjaya memindahkan lapan gajah liar dari kawasan ini," katanya.

Khidmat gajah denak, Rambai dan Sanum diperlukan bagi melancarkan operasi translokasi gajah liar yang berjaya ditangkap di Felda Bersia, Gerik pada Sabtu

Salbiah yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, kerajaan negeri dalam proses melaksanakan Santuari Gajah Perak yang dijangka dapat membantu menyelesaikan isu kacau ganggu gajah.

"Pelaksanaan santuari gajah sedang dilakukan dan mungkin ini boleh membantu Perhilitan menangani isu melibatkan haiwan ini," katanya.

Operasi memindahkan Yob Malam melibatkan kekuatan 24 kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Pahang; Santuari Gajah Johor dan Perhilitan Perak di Gerik pada Sabtu.

Pada 18 Julai 2020, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengumumkan membina sebuah Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11, Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Gerik, Perak.

Projek yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dibangunkan dengan kos kira-kira RM40 juta dalam usaha berterusan memulihara haiwan liar itu, sekali gus menangani konflik antara gajah dan manusia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!