JOHOR BAHRU - Masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan, menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah bagi menyelesaikan masalah itu.
"Saya telah berjumpa Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) bagi membincangkan perkara ini dan beliau menunjukkan komitmen dan memaklumkan ada beberapa perancangan sedang dibuat untuk menambah lagi paip dan takungan air.
"Kita jangkakan secara keseluruhannya masalah tersebut dapat diselesaikan sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan. KPT sudah melaksanakan apa yang diperlukan termasuk menyediakan telaga tiub dengan ambil air bawah tanah yang telah pun siap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Johor 2024 dan Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini pada Sabtu.
Zambry berkata, pihaknya telah melawat UMS sebanyak dua kali bagi meninjau permasalahan itu untuk memastikan isu bekalan air di universiti tersebut dapat diselesaikan dalam kadar segera demi kebajikan dan kesejahteraan pelajar.
Pada Rabu lepas, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor dilapor mengingatkan mahasiswa universiti itu tidak menyertai perhimpunan bagi membantah isu bekalan air yang dihadapi institusi pengajian berkenaan pada 14 Jun ini.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya sebelum ini dilapor berkata, Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah berhadapan dengan gangguan bekalan air akibat penyambungan paip haram oleh penduduk setinggan yang ada kalanya mengakibatkan gangguan bekalan ke UMS dan kawasan sekitar. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!