KOTA BHARU - Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Kelantan 2024 mengambil ketetapan 10 resolusi antaranya memperuntukkan kerusi kepada MCA dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, parti itu perlu kekal relevan supaya dapat menerajui kepimpinan kerajaan Kelantan ke arah yang lebih berdaya saing dan hubungan kerjasama antara parti komponen BN bersama komponen parti Kerajaan Perpaduan perlu diperkukuhkan.
Menurut beliau, pada PRU15 lepas, MCA tidak diperuntukkan kerusi dan terlepas peluang untuk bertanding tetapi dalam BN konsep kebersamaan diamalkan secara tradisi.
"MCA selalu mempunyai satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertanding dalam PRU di peringkat negeri, maka kali ini, kami peka dan sedar untuk menterjemahkan ke dalam bentuk tindakan.
"Atas semangat setia kawan, MCA akan diperuntukkan kerusi dalam PRU depan selain penambahan kuota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), lantikan sebagai Pengerusi, Setiausaha JPKKP kalangan wakil MCA serta MIC,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen BN Negeri Kelantan 2024 di sini, pada Sabtu.
Resolusi itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Resolusi, Datuk Mohd Adhan Kechik dan diserahkan kepada Ahmad Jazlan oleh Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, dalam resolusi itu juga, BN perlu memainkan peranan lebih efektif dengan menubuhkan sebuah sekretariat bagi memastikan pelaksanaan atau gerak kerja kerajaan Kelantan yang lebih telus dan adil sekali gus BN sebagai penjaga hak rakyat.
"Selain itu, kami mencadangkan lantikan seorang anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan dalam kalangan pemimpin Kelantan.
"BN juga perlu diremajakan semula dari segi gerak kerjanya dan perlu untuk kembalikan semula keyakinan serta kepercayaan rakyat,” katanya.
Resolusi lainnya ialah menubuhkan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara (Utara) yang berperanan untuk memacu ekonomi dan pembinaan insan di 11 Parlimen (Machang, Ketereh, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Pasir Puteh, Bachok, Kubang Kerian, Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang dan sebahagian Tanah Merah).
Pemerkasaan media sosial BN dengan mewujudkan lebih ramai pempengaruh, menubuhkan universiti antarabangsa al-Quran dan hadis serta terakhir, menuntut satu perbicaraan yang telus serta adil terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!