JERANTUT - Tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 18 Jalan Jerantut-Maran dekat Sungai Salan di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Bezza dan Myvi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, dua penumpang Bezza iaitu Nur Harina Fatihah Syaifol Bahari, 21, meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya, Norazlina Ismail, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Hospital Jerantut.
Menurutnya, seorang lagi mangsa iaitu pemandu Myvi, Suhaimi Abd Rahman, 42, turut meninggal dunia di hospital sama ketika menerima rawatan lanjut.
"Hasil siasatan awal, kejadian berlaku ketika Perodua Bezza dalam perjalanan dari arah Jengka menghala ke Jerantut manakala Perodua Myvi dari arah Jerantut menghala ke Felda Gelanggi 2.
"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi tiba-tiba telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Bezza yang dipandu suami Norazlina," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, pemandu Bezza, Syaifol Bahari Idris, 50, mengalami kecederaan luka pada bahagian lutut kanan dan lebam di bahagian badan.
Jelasnya, kemalangan menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk di bahagian depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
Ujarnya, pasukan bomba membuat operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.
Jelas beliau, lelaki terbabit telah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada ambulans KKM Jerantut untuk mendapat rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!