'SJKC terkenal dengan disiplin ketat'

Iklan
Mat Ausyaff mula belajar asas bahasa Mandarin bermula di tadika dan ini tahun pertamanya di SJKC On Pong 2, Ampang.

SHAH ALAM - Pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) lebih cenderung ketinggalan dalam pelajaran tetapi ada sebilangan kecil yang cemerlang dalam pelajaran mereka.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, ia agak menakutkan bagi murid bukan Cina yang keluar daripada zon selesa dan berusaha untuk menyesuaikan diri di SJKC.

Iklan
Iklan

"SJKC terkenal dengan disiplin ketat. Guru akan mengenakan tindakan sekiranya murid tidak dapat mengikuti pelajaran, tidak memberi perhatian dalam kelas atau gagal menyiapkan tugasan,” katanya.

Menurut Noor Azimah, selain akademik, mereka juga berdepan dengan tekanan daripada rakan sebaya terutama apabila hanya seorang atau dua murid bukan Cina di dalam kelas.

Iklan

Jelasnya, mereka perlu berusaha lebih keras untuk mempelajari bahasa baharu dan menulis aksara Cina bagi mengelakkan diri daripada dilihat sebagai ‘orang luar’ di sekolah.

"Kita sering mendengar kisah kejayaan tetapi sebenarnya terdapat beberapa kes yang gagal,” ujarnya.

Iklan

Noor Azimah berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam aspek itu dan guru juga perlu melaksanakan tugas mereka untuk memastikan murid bukan Cina di SJKC mendapat perhatian serta bimbingan bagi mengatasi ketakutan mereka.

Peluang lebih baik

Walaupun tidak tahu bahasa Mandarin, seorang ibu, Nur Haslinda Mohd Nasir memilih untuk menghantar anaknya ke SJKC dengan harapan permata hatinya itu dapat menguasai bahasa lain bagi merebut peluang lebih baik dalam pekerjaan kelak.

Anaknya, Mat Ausyaff Adam Mat Rozman mula belajar asas bahasa Mandarin bermula di tadika dan ini tahun pertamanya di SJKC On Pong 2 di Ampang.

Nur Haslinda berkata, dia memilih untuk menghantar Mat Ausyaff ke tadika Cina bagi menguji keserasian.

Antara ibu bapa bukan Cina yang menghantar anak bersekolah di SJKC.

"Pada ketika itu, Mat Ausyaff pulang dari tadika setiap hari dengan gembira menulis di dinding.

"Saya tidak dapat memahami aksara Cina yang ditulis, jadi saya bertanya kepadanya apa maksud perkataan tersebut. Dia memberitahu saya itu perkataan bahasa Cina yang dipelajari di sekolah. Sejak itu, saya merasakan minatnya terhadap bahasa Mandarin,” katanya.

Apabila dia bertemu dengan jiran Cina di luar rumah, Mat Ausyaff akan menggunakan bahasa berkenaan untuk berkomunikasi.

Walaupun kelihatan optimis dan positif, Nur Aslinda memberikan kebebasan belajar kepada anaknya, tetapi dia juga bimbang tentang apa yang perlu dilakukan jika tidak dapat mengikuti arus pembelajaran di SJKC.

Bergelut

Seorang ibu, Rafizah Hussin pula menghantar anak kembarnya berusia 12 tahun, Nur Adelia Rania Mohd Faizal dan Nur Adelina Rania Mohd Faizal serta Nur Aqeela Deslisya Mohd Faizal,10, bersekolah di SJK(C) Chung Hua Klang.

Bagaimanapun, pasangan kembar yang belajar di SJKC selama lima tahun itu masih bergelut untuk mencapai prestasi baik dalam pelbagai mata pelajaran bahasa disebabkan pandemik Covid-19.

Akibatnya, mereka terpaksa berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) ketika Tahun Enam.

"Penguasaan bahasa Melayu mereka tidak begitu baik dan kami berhasrat untuk menghantar mereka ke sekolah menengah berasrama.

"Kami tidak mempunyai pilihan selain memindahkan mereka ke SK pada tahun akhir pendidikan rendah,” katanya.

Menurut Rafizah, prestasi akademik keseluruhan anak kembarnya di SJKC lemah walaupun mereka boleh membaca dan bertutur dalam bahasa Mandarin.

Namun kemahiran menulis sederhana menyebabkan anaknya itu tidak dapat menulis semasa peperiksaan walaupun mengetahui jawapannya.

Rafizah berkata, selain membantu anak-anak menyiapkan tugasan dengan menggunakan bahasa Melayu di rumah, mereka juga terpaksa menghantar anak-anak ke kelas tambahan bagi subjek bahasa Cina, Matematik dan Sains.

"Kos tuisyen untuk ketiga-tiga anak menjadi beban kewangan yang besar untuk keluarga,” ujarnya.

Bagaimanapun, Rafizah tidak pernah menyesal menghantar anak-anak mereka ke SJKC, sebaliknya terkilan kerana anak-anaknya tidak dapat menghabiskan tempoh enam tahun di sekolah tersebut.

"Sekarang kami beri perhatian lebih terhadap pembelajaran Nur Aqeela. Dia kini berada di Tahun Empat dan kami harap dia boleh mengekalkan keputusan yang baik dalam semua mata pelajaran tanpa perlu berpindah sekolah,” ujarnya.

Risiko

Bekas kerani bank, Norashikin Adnan, 40, dan suaminya membuat keputusan untuk menghantar dua anak perempuan mereka masing-masing berusia 13 dan 10 tahun ke SJKC Chung Cheng, Sitiawan, Perak.

"Saya dan suami memutuskan untuk menghantar dua anak perempuan kami ke SJKC selepas membuat pertimbangan teliti dan sanggup mengambil risiko demi masa depan anak perempuan kami.

"Namun anak bongsu terpaksa saya pindahkannya ke sekolah kebangsaan selepas tiga tahun di SJKC atas nasihat guru dan guru besar.

Antara ibu bapa bukan Cina yang menghantar anak bersekolah di SJKC.

"Anak perempuan saya sanggup kekal, tetapi guru besar memberitahu kami bahawa Tahun Empat lebih sukar, dia mungkin hilang keyakinan dan minat untuk belajar,” katanya.

Anak perempuan sulung mereka tidak mempunyai masalah seperti itu kerana mendapat keputusan yang baik sejak Tahun Satu hingga Enam dan kini belajar di SMJK Nan Hwa.

Remaja itu satu-satunya pelajar terbaik bukan Cina dalam kelas Tingkatan Satu di sekolah berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!