SHAH ALAM - Di restoran kebiasaannya tisu akan diletakkan di setiap meja atau kaunter pembayaran, namun berbeza dengan pemilik kedai makan di Tanjung Sedeli, Johor apabila menggantung tisu di siling.
Tindakan di luar kotak pemilik kedai makan itu mengundang perhatian pelanggan sekali gus membuatkan mereka terkesima apabila melihat kedudukan tisu di tempat yang tinggi.
Menurut Miza Izzatie Mohed, 27, dia berketinggian 150 sentimeter (cm) sukar untuk mencapai tisu kerana digantung di siling kedai makan.
"Sebenarnya kedai tersebut sudah lama sejak saya masih kecil. Saya pergi ke sana untuk makan roti canai. Biasalah mata kita akan melilau melihat persekitaran sementara menunggu makanan yang dipesan, masa itu saya nampak tisu digantung.
"Rasa kelakar bila lihat tisu tinggi sangat dan terpaksa minta bantuan suami. Dia berketinggian 170cm boleh capai tisu itu," katanya kepada Sinar Harian.
Pengalaman itu dikongsi oleh Miza Izzatie menerusi video di aplikasi TikTok ketika mengunjungi kedai makan berkenaan bersama suaminya.
Video tersebut tular di media sosial dan mendapat lebih 40,000 tanda suka.
Tambah Miza Izzatie, ia merupakan pengalaman pertamanya melihat tisu di kedai makan di gantung di siling.
"Sebelum ini, banyak kedai yang saya pergi tetapi tiada yang berbuat demikian," katanya.
Sementara itu, di ruangan komen pula mendapati, rata-rata netizen terhibur dengan video tersebut dan terdapat juga pengguna di TikTok berpendapat tindakan itu sengaja bagi mengelakkan pembaziran.
"Pak cik saja letak tinggi supaya budak-budak tidak membazir tisu," kata_ve.
Sementara itu, menurut pengguna TikTok bernama Mentadak Comel, bagi mereka bersaiz rendah memerlukan bantuan lain untuk ambil tisu.
"Kena guna alat bantuan contohnya kerusi. Kita hanya 149 cm," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!