Guru beri tumpuan kepada semua

Iklan
Sin Ee (kanan) bersama Mooi Lin percaya kunci kejayaan terletak pada murid serta ibu bapa dan bukannya warna kulit.

SHAH ALAM - Anggapan bahawa beban tugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berat disebabkan perlu menghabiskan lebih banyak masa dan usaha membimbing murid bukan Cina tidak tepat kerana kebolehan belajar murid adalah berbeza.

Ketua Mata Pelajaran Bahasa Cina SJKC Union, Pulau Pinang, Ooi Sin Ee berkata, ini kerana guru-guru tidak stereotaip terhadap murid berdasarkan kaum sebaliknya sikap murid dan kerjasama daripada ibu bapa merupakan kunci kepada kejayaan mereka.

Iklan
Iklan

Berkongsi pengalaman mendidik, beliau secara peribadi menyaksikan ramai murid bukan Cina di SJKC mencapai keputusan cemerlang dengan prestasi terbaik dalam aktiviti kokurikulum.

"Ini menunjukkan bahawa kunci terletak pada kebolehan dan sikap pembelajaran murid, bukannya warna kulit mereka.

Iklan

"Murid akan memperoleh kemahiran secara berperingkat apabila mereka mempelajari sesuatu subjek secara berulang kali di dalam kelas," katanya.

Dalam pada itu, guru bahasa Cina sekolah itu, Choo Mooi Lin berkongsi kaedah pengajaran dalam kelas dengan menyusun pelajar mengikut cara tersendiri.

Iklan

"Bagi murid mahir akan duduk di sebelah mereka yang lemah bagi tujuan perhatian khusus selain bertindak sebagai tutor rakan sebaya.

"Mereka membantu rakan sekelas semasa sesi kerja rumah," ujar beliau.

Jelasnya, mengasingkan murid bukan Cina sebagai satu kumpulan dengan kemajuan yang lebih perlahan adalah tidak sesuai kerana murid Cina juga mungkin berbeza dalam kadar pembelajaran.

"Perkara paling penting ialah mengajar mengikut kebolehan murid. Jika seseorang murid itu lemah dalam penguasaan bahasa Cina, pembelajarannya akan terjejas kerana Matematik, Sains, Sejarah juga diajar dalam Bahasa Cina.

"Sebagai contoh, dalam matematik, seorang murid mungkin boleh menjawab soalan tambah dan tolak. Tetapi jika murid itu tidak memahami soalan kerana penguasaan bahasa Cina yang lemah, maka dia menghadapi kesukaran untuk menjawab soalan itu.

"Begitu juga dengan Sains. Murid mungkin tahu jawapannya tetapi tidak dapat menyatakannya secara bertulis kerana kekurangan perbendaharaan kata,'' ujar Mooi Lin.

Jelasnya, bagi menangani isu berkenaan pendekatan terbaik adalah meminta murid mempraktikkan imlak, menulis dan meningkatkan perbendaharaan kata.

"Begitu juga subjek Sains perlu diberi keutamaan kerana ia menggunakan banyak istilah khusus dan latihan menulis adalah wajib.

"Kadang-kadang, murid tahu jawapannya, mereka kehilangan mata kerana tidak dapat menulis kata kunci," katanya.

Mooi Lin sebagai guru bertanggungjawab mengajar murid Tahun Satu hingga Tiga mengakui jika murid bukan Cina belum menguasai sepenuhnya asas bahasa Cina di tadika, mereka pasti menghadapi beberapa cabaran apabila berada di Tahun Satu SJKC.

"Mereka mungkin tidak mempunyai masalah untuk mendengar dan bercakap (Mandarin), tetapi mereka perlu mengejar secara berperingkat dengan membaca.

"Bagi penulisan ia agak sukar terutamanya untuk menguasai susunan strok kerana ia memerlukan usaha gigih," kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai kaedah membantu murid dalam mengikuti pelajaran, Mooi Lin memaklumkan bahawa guru menggunakan masa tambahan sebelum kelas, semasa rehat atau selepas kelas untuk menyediakan tutorial.

Beliau berkata, guru juga mencipta carta bintang untuk pelbagai mata pelajaran di dalam bilik darjah untuk menggalak dan mengukuhkan keyakinan murid.

Tambah beliau, selagi murid memenuhi garis panduan pembelajaran atau keperluan guru, mereka akan menerima pelekat bintang sebagai ganjaran yang diletakkan pada carta bintang.

"Apabila murid melihat nama mereka memperoleh bintang yang banyak sudah pasti ia meningkatkan keyakinan mereka.

"Kita perlu membantu mereka membina keyakinan, terutamanya bagi murid yang masih lemah untuk menguasai bahasa Cina," katanya.

Walaupun ibu bapa bukan Cina mungkin memahami bahawa anak-anak mereka akan menghadapi cabaran tertentu ketika di SJKC, mereka tetap menghantar anak-anak ke sekolah tersebut supaya boleh menguasai bahasa lain.

Mereka juga yakin dengan suasana dan kemudahan akademik disediakan.

Bagaimanapun, sesetengah ibu bapa bukan Cina mungkin mula menyedari dan memikirkan sama ada anak mereka sesuai untuk belajar di sana, terutamanya apabila anak-anak terpaksa bekerja keras dengan pelajaran mereka.

Menurut Sin Ee, semua keputusan bergantung kepada ibu bapa sama ada memindahkan anak-anak ke sekolah kebangsaan kerana beliau percaya bahawa di sana mereka dapat menyesuaikan diri lebih cepat kerana bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu.

Kata Sin Ee, perubahan bahasa pengantar daripada bahasa Cina kepada bahasa Melayu mungkin tidak terlalu sukar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!