KEMAMAN - Dua sahabat tidak menyangka perniagaan kebab yang diusahakan selepas masing-masing tiada pekerjaan tetap sejak 25 tahun lalu mampu bertahan sehingga kini.
Yusaimi Mohd Nor, 50, dan Syed Sofian Abdullah, 55, memulakan perniagaan dengan jenama Kebab Kemaman di Bandar Chukai, di sini sejak 1999 bagi mencuba nasib selain mahu melihat sambutan pelanggan.
Menurut Yusaimi, berkat usaha dan kesungguhan mereka mampu menyara keluarga dengan hasil jualan diperoleh mencecah RM5,000 sebulan.
"Waktu mula berniaga ni kami berdua tiada pekerjaan tetap dan mencari-cari peluang untuk berniaga. Masa tu kebab masih belum terkenal dan tiada lagi orang menjual makanan itu di sekitar kawasan ini.
"Kami sebenarnya hanya mencuba nasib dan bersyukur sebab kebab yang kami hasilkan mendapat sambutan ramai sehingga kini," katanya ketika ditemui di gerainya, di sini pada Sabtu.
Bapa kepada dua anak itu berkata, lebih 250 keping kebab inti daging dan ayam habis dijual setiap hari di gerai mereka yang beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga 9 malam.
"Selain itu, kami juga amat menitikberatkan kualiti makanan yang serta turut mempelajari teknik tertentu bagi memastikan rasa inti kebab iaitu ayam dan daging serta timun tetap segar walaupun sudah lebih enam jam dibeli," katanya.
Yusaimi yang lebih mesra digelar Mi berkata, kebab yang dijual pada harga antara RM4 hingga RM4.50 turut dijadikan juadah makan tengah hari.
"Jualan kebab ini bukan sahaja dijadikan juadah makan malam tetapi juga ada sesetengah pelanggan yang menjadikan ia sebagai makanan pada waktu tengah hari.
"Sebab itulah kami sering menerima tempahan daripada pekerja pejabat dan semua peringkat usia kerana olahan bahan-bahan yang dimasukkan mengikut citarasa masing-masing," katanya yang turut menerima pelanggan dari luar Terengganu termasuk Pahang, Kelantan, Johor serta pelancong dari Singapura.
Mengulas mengenai persaingan dengan peniaga lain, Yusaimi berkata, jualan makanan itu masih mendapat permintaan tinggi terutamanya pada bulan Ramadan malah mampu mencecah sehingga 400 keping sehari.
"Kami akan usahakan supaya kebab ini terus mendapat tempat di hati pelanggan dan perniagaan ini boleh bertahan dan terus berkembang maju," ujarnya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Muliati Ramli, 33, berkata, makanan yang berasal dari negara Timur Tengah itu menepati selera dan citarasanya.
"Saya sering ke sini untuk membeli kebab inti daging kerana adunan resipi yang digunakan membuatkan makanan itu tidak jemu dimakan.
"Pernah juga beli kebab di tempat lain tetapi rasanya agak berbeza. Paling saya gemar ialah rasa timun yang rangup dan rasa sos yang tidak terlalu pedas.
"Tambahan pula, inti daging yang banyak membuatkan siapa sahaja yang datang membeli kebab di sini akan puas hati dengan kuantiti makanan dan harga yang ditawarkan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!