SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan sekiranya diminta oleh parti susulan wujud desakan agar beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Pas.
Desakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan hantaran yang dibuat beliau di media sosial berkenaan tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil tindakan merehatkan pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don dalam rancangan Salam Baitullah.
"Nanti boleh tanyakan kepada Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi SU (Setiausaha) Pas Muhd Khidhir Izaidin bagaimana prosesnya.
"Balai panggil untuk bagi keterangan pun saya mai (datang), berkali-kali, insya-ALLAH parti panggil untuk bagi keterangan pun saya ready (bersedia). Diminta lepas jawatan pun saya okey," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Pada masa sama, beliau mendakwa tiada sebarang teguran diterima secara peribadi berhubung isu yang dikaitan dengannya.
"Saya menjenguk juga kalau ada yang tegur secara personal dalam whatsapp atau mesej, tapi tiada pula.
"Sebab dinyatakan hadith ikhlas dalam menegur. Tapi diumum secara public (terbuka) dan diseru semua orang. Mungkin itu cara yang paling ikhlas," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!