Trend kes denggi daerah Petaling meningkat

Iklan
Peserta Program Gotong-Royong di Flora Damansara PJU 8 pada Ahad. (Gambar kecil: Aznan)

PETALING JAYA - Trend kes denggi daerah Petaling menunjukkan peningkatan namun berada dalam keadaan terkawal melalui langkah pencegahan yang dilaksanakan.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan berkata, sebanyak 3,704 kes denggi dilaporkan hingga epid 23 membabitkan 15 'hotspot' terutama di perumahan strata dan kepadatan tinggi serta tapak pembinaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa langkah pencegahan dan kawalan dilakukan terutama di lokasi wabak dengan menghentikan pembiakan termasuk semburan racun pembunuh nyamuk.

"Selain semburan asap dan pelepasan nyamuk wolbachia, kita tekankan kesedaran penduduk untuk bersama-sama memerangi pembiakan melalui gotong-royong dan menjaga kawasan persekitaran perumahan masing-masing," katanya pada Program Gotong-Royong di Flora Damansara PJU 8 di sini pada Ahad.

Iklan
Aznan (tiga dari kanan, duduk) ketika Program Gotong-Royong di Flora Damansara PJU 8 pada Ahad.

Program gotong-royong mega itu dijalankan serentak di lima kawasan termasuk Impian Baiduri, Taman Megah SS24, Flat PJS 6/4E dan Seksyen 14.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, MBPJ mengambil langkah melantik duta kebersihan di kawasan strata untuk menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Iklan

"Duta kebersihan telah lama diwujudkan cuma seorang lagi duta dilantik di Flora Damansara ini menjadikan keseluruhan seramai sepuluh orang yang berperanan memantau dan melaporkan isu kebersihan kepada MBPJ.

"Mereka menjadi mata-mata MBPJ, kerjasama mereka akan membantu kami mendapatkan maklumat secara terus untuk mengambil tindakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!