PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Balu kepada pemain kebangsaan dan legenda bola sepak Kelantan, Wan Ezila Wan Daud menganggap pemberian Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2.0 sebagai ‘hadiah’ daripada Allahyarham suaminya.
Suhaini Muhamad Asri, 37, berkata, semasa masih hidup, Allahyarham pernah menyuarakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri, namun mereka sekeluarga hanya tinggal di rumah sewa di Lundang, Kota Bharu sebelum ini.
Menurut Suhaini, dia juga tidak pernah menjangka menerima rumah bernilai RM68,000 oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) terbabit atas jasa dan bakti arwah dalam arena sukan tanah air.
"Arwah tidak sempat untuk berasa tinggal di rumah baharu.
"Saya menganggap rumah ini sebagai hadiah daripadanya dan akan menjadi kenangan antara kami,” katanya ketika ditemui semasa serahan Surat Tawaran RMR 2.0 oleh Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa di Kampung Gong Datuk di sini pada Ahad.
Wan Ezila yang juga Ketua Jurulatih Kijang Muda meninggal dunia pada jam 1.30 pagi, 5 Januari lalu selepas mengadu sakit dalam perut.
Beliau antara watak penting pasukan Kelantan dan Terengganu pada tahun 1980 dan 1990an, namum ‘menggantung but’ sejak tahun 1994.
Tambah Suhaini, sejak Allahyarham meninggal dunia, dia bersama dua anak yang berusia sembilan dan 15 tahun menumpang di rumah anak tiri (anak kedua arwah) di Kuala Lumpur dan mengambil upah mengasuh tiga kanak-kanak.
"Saya terima upah mengasuh sebanyak RM900 sebulan, namun tidak mampu untuk membina rumah sendiri.
"Apabila siap rumah ini, saya akan berpindah semula ke Kelantan dan Alhamdulillah ini rezeki buat saya dan anak-anak walaupun suami sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, Husam berkata, rumah tersebut dijangka siap dalam tempoh dua bulan pada pertengahan September ini.
Kata beliau, rumah itu kali pertama diberikan kepada bintang bola sepak negara di bawah tanggungjawab sosial korporat SPNB dalam menghargai jasa dan pengorbanan atlet tersebut semasa aktif bersukan untuk negara.
"Saya berharap akan ada lebih ramai pertubuhan lain melakukan perkara sama dengan menghargai penat lelah pemain bola sepak.
"Seterusnya lebih ramai anak-anak muda tertarik untuk melibatkan diri dalam sukan bola sepak apabila nasib mereka terbela,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!