WASHINGTON - Pasukan undang-undang mewakili Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menggesa Senat supaya menolak bulat-bulat dakwaan pemecatan, sekali gus menggugurkan kes terhadap bilionair hartanah terbabit.
Gesaan itu dibuat sehari sebelum hujah permulaan untuk kes pemecatan Trump akan diadakan di Senat.
Pasukan pembela Trump turut mendakwa tuduhan dilemparkan Demokrat akan melemahkan Presiden secara kekal jika mereka berjaya menyingkirkannya dari Rumah Putih.
Menerusi dokumen setebal 110 muka surat itu, peguam Trump mengemukakan hujah yang mempersoalkan dua dakwaan berkaitan salah guna kuasa dan menghalang siasatan Kongres yang dikenakan ke atas Presiden ke-45 AS terbabit.
Mereka bertindak menolak kesahihan kedua-dua artikel pemecatan yang dikemukakan terhadap Trump yang didakwa tidak mematuhi garis panduan Perlembagaan, tidak menyatakan secara spesifik pelanggaran undang-undang, tafsiran yang tidak jelas dan tindakan menolak kuasa secara meluas untuk memecat Presiden.
Peguam Trump juga mendakwa tuduhan Demokrat tersebut sebenarnya mahu menghukum beliau atas keputusan dasar luar dan usahanya untuk mengekalkan prerogatif eksekutif.
Menerusi ringkasan hujah yang dikemukakan di Dewan Perwakilan terhadap kes pemecatan Trump pada Sabtu lalu, ia mendakwa Trump sengaja membenarkan campur tangan asing dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020 untuk kepentingan sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Trump tawar pertahanan komprehensif pertama
Beliau turut didakwa memberi tekanan kepada Ukraine bagi menyiasat pesaing politiknya, bekas Timbalan Presiden Joe Biden dengan menyekat dana bantuan keselamatan kepada Kiev berjumlah hampir AS$400 juta (RM1.6 bilion).
"Beliau melakukan tindakan itu untuk menipu dalam pilihan raya akan datang dan menyembunyikan bukti apabila perkara itu terbongkar.
"Jawapan Trump untuk mempertahankan dirinya terhadap tuduhan itu adakah tidak menentu, bercanggah dan tidak munasabah ke atas dakwaan fakta di bawah Artikel 1,” kata pengurus kes pemecatan Trump yang dilantik Parti Demokrat.
Butiran hujah yang difailkan peguam Trump bagaimanapun tidak membuat sebarang penafian bahawa beliau sememangnya ada meminta bantuan Ukraine untuk menyiasat Demokrat termasuk Biden dan menyekat bantuan ketenteraan ke atas Kiev yang diluluskan Kongres.
Hujah lisan oleh tujuh pengurus dilantik oleh Dewan Perwakilan tersebut dijangka bermula pada awal pagi esok disusuli pembentangan kes bagi pihak pembelaan yang akan dibuat pasukan Trump. - Agensi