IPOH - Seramai 10 pelayan pelanggan (GRO) warga asing sanggup berpanas dan berhimpit dalam bilik rahsia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa di sebuah premis hiburan di Pasir Puteh dekat sini pada Sabtu.
Tempat persembunyian itu bagaimanapun dapat dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menerusi operasi penguatkuasaan Op Gegar, Op Sapu dan Op Selera yang bermula 8.30 malam.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kesemua GRO warga Vietnam berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam keadaan berpeluh dan hampir lemah selepas hampir satu jam bersembunyi di bilik rahsia berkenaan.
"Siasatan mendapati, GRO ini cuba untuk meloloskan diri dengan bersembunyi di bilik berkenaan.
"Bilik rahsia tersebut tidak mempunyai pengudaraan sempurna dan menggunakan pintu automasi kawalan jarak jauh," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, operasi sama telah melakukan pemeriksaan ke atas 79 warga asing dari pelbagai negara hasil pemeriksaan di empat premis perniagaan dan dua kediaman sekitar Ipoh.
Katanya, daripada pemeriksaan itu, 42 warga Indonesia, Vietnam, Thailand dan Myanmar berusia antara 2 hingg 50 tahun ditahan kerana masuk ke negara ini tanpa pas yang sah dan tinggal selepas tamat tempoh pas dikeluarkan.
"Mereka telah dibawa ke Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama serta kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!