GOMBAK - Aliran berbuih serta bau seakan diesel dikesan di sebuah tapak projek pembangunan di Sungai Gombak pada Sabtu.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan berkata, kejadian disedari sekitar jam 1 tengah hari dan telah menggerakkan anggota menjalankan pemeriksaan.
Menurutnya, semakan mendapati permasalahan itu disyaki berpunca daripada pencucian jentera berhampiran lokasi.
"Kerja cucian menyebabkan aliran tersebut masuk ke longkang premis dan seterusnya ke dalam kolam rawatan dan ke sungai berhampiran.
"LUAS telah melakukan pensampelan di lokasi-lokasi berkaitan di premis berkenaan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Katanya, sekitar jam 8 malam didapati aliran berbuih tersebut dikesan semula di Loji Rawatan Air (LRA) Gombak.
"Pasukan LUAS telah melakukan pensampelan bagi mengenalpasti kandungan aliran berbuih tersebut.
"Keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS bersama Air Selangor sedang menjalankan siasatan menjejaki punca aliran berbuih berkenaan di hulu sungai Gombak dan anak-anak sungai berkaitan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!