SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyaran agar kajian menyeluruh dilaksanakan bagi memperkenalkan teknologi rawatan terapi ion berat untuk penyakit kanser di Malaysia seperti kaedah yang digunakan oleh Pusat Terapi Ion Berat Osaka di Jepun.
Menurutnya, kajian perlu dilakukan dengan melibatkan fasiliti-fasiliti perubatan swasta dan awam serta pusat pengajian universiti, sekali gus sebagai usaha mengembangkan industri pelancongan kesihatan di Malaysia.
"Pusat ini memperkenalkan teknologi terkini iaitu ‘carbon ion radiotherapy’ (CIRT) dan ‘proton beam therapy’ sebagai rawatan perubatan bersasar jitu (‘precision medicine’) untuk merawat pelbagai jenis penyakit kanser.
"Pusat ini memberikan perkhidmatan terapi kanser yang komprehensif dengan melihat kepada segala aspek dari segi intervensi terapi ion bersasar yang berupaya membunuh sel kanser secara tepat tanpa merosakkan sel-sel di sekelilingnya.
"Intervensi ini mempunyai kesan komplikasi radiasi yang rendah lantas akan dapat meningkatkan kualiti kehidupan pesakit, dan mengurangkan beban keluarga dalam penjagaan pesakit,"katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Terdahulu beliau melakukan lawatan ke pusat terapi tersebut dan bertemu Ketua Pengarah Osaka Heavy Ion Therapy Center, Dr Jiro Fujimoto bagi meneroka potensi rawatan terapi ion berat untuk kanser.
Turut serta, Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Sim Tze Sin; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, Vivian Wong Shir Yee; dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.
Selain itu, hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany; Pengarah Eksekutif, Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr Hafez Hussain dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Osaka (MISA Osaka), Gulam Muszairi Gulam Mustakim.
Johari menambah, penggunaan terapi proton di Malaysia, bahkan ASEAN merupakan teknologi rawatan kanser yang baharu.
Justeru, beliau yakin lawatan tersebut bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, tetapi untuk penduduk rantau ASEAN.
"Semoga inovasi terapi ion berat ini dapat memanfaatkan rakyat yang memerlukan pilihan alternatif dalam menangani penyakit kanser," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!