Kereta tiba-tiba mengundur dirempuh dua motosikal

Iklan
Video tular memaparkan insiden kemalangan di Lebuhraya Kajang SILK, di sini, pada Jumaat.

KAJANG - Akibat tidak menarik brek tangan dengan sempurna, sebuah kereta mengundur lalu menyebabkan kemalangan dengan dua motosikal di Lebuhraya Kajang SILK, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan mendapati semasa kejadian pada jam 8.20 pagi itu, pemandu Perodua Ativa telah meletakkan kenderaan di hadapan sebuah pusat servis kenderaan di Balakong, di sini.

Iklan
Iklan

"Akibat tidak menarik brek tangan dengan kemas, kereta itu mengundur keluar ke jalan utama sehingga menyebabkan dua penunggang motosikal telah melanggar bahagian kiri kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Zaid berkata, penunggang motosikal mengalami kecederaan, manakala pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Kes disiasat mengikut Peraturan 14 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 14 LN 166/59)," katanya.

Beliau berkata, pemandu kenderaan dinasihatkan agar berhati-hati dan cermat supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Iklan

"Kecuaian yang sedikit boleh mendatangkan mudarat yang besar. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Nor Shahidan di talian 012-3910630 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Pada Ahad tular rakaman video berdurasi 51 saat yang memaparkan, kereta berwarna putih itu pada awalnya dilihat masuk ke perkarangan pusat servis kenderaan berkenaan.

Kenderaan itu, kemudian didapati mengundur ke jalan utama secara tiba-tiba dalam keadaan pintu penumpangnya terbuka.

Dua penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak merempuh kereta itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!