IPOH -"Seminggu ibu jaga saya berpantang, dia begitu teruja menyambut kelahiran cucunya. Tak sangka itu adalah detik akhir kami berkongsi kegembiraan."
Demikian luah Rohayati Yaakub, 31, menantu kepada Intan Dasillah Hassan, 50, yang maut dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Kampung Kerawat pada Sabtu.
Kejadian sekitar jam 11.40 pagi itu turut mengorbankan anak perempuan Intan Dasillah, Intan Nor Khairina Mohd Kharini, 12, manakala suami berusia 65 tahun dan dua lagi anak perempuan masing-masing berusia sembilan dan empat tahun dilaporkan cedera.
Rohayati berkata, semasa kejadian, keluarga mentuanya itu dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu, Kelantan selepas seminggu berada di rumahnya di Kampung Pengkalan Pegoh di sini.
"Sepanjang berada di sini, ibu menjaga saya dengan begitu baik, malah wajahnya kelihatan sangat gembira.
"Ibu juga membeli banyak kelengkapan bayi untuk cucunya ini," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Ahad.
Rohayati berkata, nahas yang berlaku begitu mengejutkan mereka sekeluarga terutama suaminya, Muhammad Nor Fathullah Al-Akmal Nor Sharizal, 27, yang merupakan anak sulung Allahyarham daripada perkahwinan pertama.
"Ibu pernah cakap bahawa kelahiran baru ini mendatangkan lebih keterujaan kepada dirinya kerana ini cucu daripada anak sulungnya," katanya.
Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan dalam satu liang lahat di Batu Gajah selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Difahamkan, dua mangsa yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat di HRPB manakala seorang telah dibenarkan keluar hospital.
Media melaporkan, dua beranak maut apabila MPV jenis Toyota Avanza dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan tayar yang datang dari arah bertentangan.
Kedua-dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.