IPOH - Kerajaan Perak bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri sedang menjejaki calon-calon yang tidak menghadiri Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 untuk memberi galakan kepada mereka menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Kemahiran dan Latihan Vokasional (TVET).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, terdapat seramai 655 orang calon SPM 2023 di negeri ini yang tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut pada tahun lalu.
Menurutnya, usaha tersebut dilakukan sebagai menyahut saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar calon yang tidak menduduki SPM menceburi TVET.
"Saya cukup bersetuju agar mereka ini diberi ruang dan peluang untuk menyambung pengajian. Usaha menjejaki mereka ini sedang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Kem Belia Kreatif 2024 di Bazar Ipoh, Silveritage di sini pada Ahad.
Khairudin berkata, terdapat kira-kira 100 institusi pendidikan di negeri ini dengan 60 daripadanya menawarkan kursus kemahiran untuk disertai oleh mereka yang berminat.
Beliau berkata, pada masa sama kerajaan negeri juga akan melaksanakan program seperti Karnival TVET yang akan berlangsung pada 14 Julai depan dengan jemput pelajar yang tidak mengambil peperiksaan untuk sama-sama mengambil peluang meneruskan pengajian.
Pada 30 Mei lalu, media melaporkan Ahmad Zahid menyeru 10,160 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2023 supaya melanjutkan pengajian mereka dalam bidang TVET.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu turut menasihati golongan itu serta ibu bapa masing-masing agar tidak berputus asa dalam aspek akademik kerana bidang tersebut adalah 'jawapan' untuk mereka membina kerjaya pada masa depan.
Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata, Kem Belia Kreatif 2024 yang dianjurkan Koloni Karyawan Perak (PORT) merupakan program yang memberi tumpuan kepada golongan belia dan peminat seni visual untuk mereka mempelajari pelbagai teknik seni cetakan.
Katanya, program tahun kedua itu berperanan sebagai pencetus kreativiti khususnya bagi golongan muda dalam menghasilkan karya seni terbaik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!