PETALING JAYA - Peguam ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin akan menghantar permohonan kali kedua pada Isnin kepada pihak polis bagi bertemu dengan pasangan itu.
Peguam, Fahmi Abd Moin berkata, pihaknya berharap dapat bertemu suami isteri itu sebelum tempoh reman enam hari tamat, Rabu ini.
"Buat masa ini, kami masih tidak diberikan akses untuk bertemu anak guam, malah kami tidak menerima apa-apa maklum balas daripada permohonan pertama.
"Justeru, kami akan menghantar permohonan kali kedua esok (Isnin) untuk bertemu mereka,” katanya pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan percanggahan keterangan daripada saksi dan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu antara punca polis melanjutkan siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya sedang menjalankan pelbagai usaha dalam lengkapkan kertas siasatan.
Ada perkara yang perlu disemak semula kerana ada perkara yang tidak selari serta konsisten daripada keterangan saksi dan sebagainya menjurus kepada tangkapan ibu bapa Zayn Rayyan.
Setakat ini, pihak polis telah memanggil pengasuh Zayn Rayyan dan dua ahli keluarganya untuk dirakam keterangan dalam tempoh reman pertama.
Jumaat lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan sambung reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.
Pada 5 Disember tahun lalu, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai sebelum mayatnya ditemui berhampiran kawasan saliran air yang terletak kira-kira 200 meter dari blok unit kediamannya di Apartment Idaman pada keesokan hari.
Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!