PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta syarikat pengangkutan awam dan barangan yang layak tetapi belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali turut meminta syarikat berkenaan yang telah memperoleh kelulusan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian bahan api itu bermula esok.
Menurutnya, ia bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada Kementerian Kewangan mengikut tatacara permohonan yang akan dumumkan kelak.
"KPDN ingin menegaskan bahawa semua arahan dan peraturan sedia ada berkaitan dengan penjualan diesel masih berkuat kuasa dan terpakai dengan pengumuman harga baharu diesel ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum itu dalam satu sidang media Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani bermula tengah malam Isnin.
Beliau berkata, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada tengah malam ini di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.
Tambahnya, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.
Dalam pada itu Armizan berkata, susulan pengumuman berkenaan, sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan fleet card di bawah SKDS.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!