Budi Madani tiada tarikh tutup, individu layak digesa kemuka permohonan

Iklan
Amir Hamzah bercakap pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Permohonan bantuan subsidi tunai berjumlah RM200 sebulan di bawah inisiatif Budi Madani tiada tarikh tutup dan individu berkelayakan digesa memohon untuk mendapat manfaat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata inisiatif Budi Madani dilaksana sebagai langkah untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan.

Iklan
Iklan

Katanya, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan Budi Madani yang pertama bermula esok.

"Saya ingin tegaskan, bantuan ini tidak ada tarikh tutup. Oleh itu, saya menyeru kepada mereka yang sememangnya berkelayakan sama ada bagi Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi untuk memohon bantuan ini.

Iklan

"Semakan dan rayuan boleh juga dilakukan di laman web yang sama,” katanya dalam sidang media penyasaran subsidi diesel di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata, individu yang memohon Budi Madani pada Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan tersebut dan seterusnya, manakala bagi mereka yang terlepas membuat permohonan pada bulan ini, akan layak menerima bantuan pada bulan seterusnya.

Iklan

"Bantuan tiap bulan akan dapat dan lagi cepat mereka mohon, Insya-Allah lagi cepat mereka dapat,” katanya.

Ditanya sama ada bantuan RM200 menerusi inisiatif Budi Madani ini mencukupi, Amir Hamzah berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan (DOSM), jumlah bantuan itu mampu menampung penggunaan diesel bagi individu.

"... dengan RM200 ia dapat tampung 80 peratus kegunaan individu berdasarkan data (kerana) diesel mileage lebih sikit iaitu antara 75 hingga 100 kilometer sehari, itu cukup.

"Kalau ada isu atau rayuan atau apa mereka boleh buat dan kita kena lihat dari segi kemampuan dan permohonan itu,” katanya.

Di bawah Budi Madani, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

MOF membuka pendaftaran Budi Madani mulai 28 Mei lepas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Hari ini, Amir Hamzah mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!