Gerak kerja seperti biasa: Zakaria

Iklan
Zakaria (kanan) hadiri program edaran limau di kampung baru sempena Tahun Baru Cina dikongsi di Facebook peribadinya.

SEMENYIH - Program ada namun terhad disebabkan masalah peruntukan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi.

ADUN dari Barisan Nasional (BN) itu diangkat sebagai wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih Mac lepas menggantikan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Iklan
Iklan

Zakaria berkata, aktiviti turun padang dan hadiri program dilaksanakan seperti biasa yang dikongsi di Facebook rasminya, Zakaria Hanafi.

"Gerak kerja berjalan seperti biasa, cuma kita tak buat poster dan hebahan secara besar-besaran sebab bajet terhad. Kebanyakan program kalau ada melibatkan penduduk setempat kita pergi.

Iklan

"Seperti sekarang nak sambut Tahun Baru Cina, saya turun program edaran limau dan penuhi undangan makan malam di kampung baru bersama MCA, kerjasama setakat ini baik," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan segelintir pihak mendakwanya tidak turun padang selepas menang PRK Semenyih.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau menerima teguran tersebut dengan hati terbuka dan cuba membaiki kelemahan.

"Adakala yang buat dakwaan itu tak terlibat dengan masyarakat, mereka tak boleh nak samakan program dengan agensi bawah kerajaan sebab mempunyai peruntukan sebaliknya wakil pembangkang menggunakan peruntukan sendiri.

"Tiada kain rentang program tak bermaksud kita tak ada program, ada jemputan kita hadir bergerak sendiri, tak boleh jadi ahli politik yang guna air liur sahaja, tapi kerja kena jalan," katanya.

Katanya, pihaknya menggunakan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai saluran bertemu rakyat yang dibuka setiap hari.

"Aduan dan masalah rakyat termasuk kesesakan di klinik kesihatan, kemudahan dan fasiliti klinik kesihatan dan pendidikan kita ambil maklum serta kumpulkan.

"Kemudian kita bangkitkan dalam Sidang DUN untuk memberikan desakan kepada kerajaan negeri untuk selesaikan masalah dibangkitkan penduduk," katanya.