Beratur isi diesel, penuhkan tangki

Iklan
Pacuan empat roda dilihat beratur ketika tinjauan di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang. Mohd Khairul Anuar (bawah) mengisi tangki trelernya dengan diesel selepas pengumuman kenaikan harga diesel

RANTAU PANJANG - Pemandu treler dan pacuan empat roda mengambil peluang memenuhkan tangki kenderaan mereka apabila tidak sampai 24 jam berdepan kenaikan harga diesel.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sebuah stesen minyak di bandar Rantau Panjang dipenuhi kenderaan itu kira-kira jam 7 malam yang dilihat beratur panjang untuk memenuhkan tangki.

Iklan
Iklan

Pemandu treler 51 tan, Zahar Rozee, 46, berkata, kenaikan harga diesel sangat memberi kesan kepada pekerjaannya yang sering berulang-alik menghantar barang pelanggan.

Zahar memberitahu, kemungkinan dia tidak akan bekerja selama beberapa hari selepas memenuhkan tangki lorinya untuk mengambil barang di Pulau Pinang malam ini (Ahad).

Iklan

"Kenaikan ketara ini sangat membebankan dan saya perlu berbincang dengan pelanggan harga tambang baharu yang terpaksa dinaikkan berikutan kenaikan diesel.

"Saya berpendapat lebih baik tidak memandu treler daripada menanggung kerugian kerana tambang tidak berbaloi," katanya ketika ditemui di lokasi itu.

Iklan

Sementara itu, Mohd Khairul Anuar Arif, 30, pula memenuhkan tangki treler miliknya itu sebagai persiapan kenaikan harga diesel yang sudah diumumkan.

Mohd Khairul Anuar memberitahu, memerlukan RM600 untuk memenuhkan tangki trelernya untuk berulang-alik mengangkut tanah di satu lokasi.

"Bagaimanapun, diesel masih berbaki dalam tangki dan sebaik mengetahui kenaikan harga bahan api ini, saya mengisi diesel berjumlah RM200," katanya.

Selain itu, pemandu lori, Zulkafli Zakaria, 56, dari Kampung Gual Nibong pula mengakui kenaikan diesel akan membebankannya untuk berulang-alik bekerja mengangkut tanah di daerah itu.

Menurutnya, setiap hari dia memerlukan RM100 untuk membeli diesel.

"Saya mungkin akan menaikkan tambang kenderaan bagi menampung kos pembelian bahan api," katanya.

Zulkafli memenuhkan tangki lorinya di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang

Zulkafli berkata, biasanya akan memenuhkan tangki lorinya setiap petang selepas pulang dari kerja.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati tiada kenderaan bernombor plat asing yang singgah di stesen minyak berkenaan.

Media pada Ahad melaporkan kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!