BESUT - Seorang usahawan tani berjaya menerima tempahan anak pokok mencecah sehingga 2,000 pokok dalam tempoh seminggu dengan hanya mengusahakan perniagaan tersebut di Nasanida Hijauanbumi di Kampung Bakat, Jabi di sini.
Pengusaha Nasanida Hijauanbumi, Sanida Bakron, 48, berkata, jualan anak pokok itu meningkat satu kali ganda berbanding bulan sebelum ini berikutan mendapat permintaan yang tinggi ketika cuaca panas.
Menurutnya, cuaca panas menyebabkan anak pokok lebih senang dibiak selain mudah diuruskan termasuk ketika proses pembajaan dilakukan.
"Kebanyakan petani akan mengambil kesempatan untuk menanam (pada musim panas) menyebabkan permintaan anak pokok meningkat mendadak berbanding musim tengkujuh.
"Dalam tempoh seminggu tempahan anak pokok mencecah sehingga 2,000 pokok. Ini kerana golongan petani mula menanam kembali termasuk mereka yang menjalankan tanaman fertigasi.
"Kami juga pernah meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan susulan permintaan meningkat ketika musim panas,” katanya ketika ditemui di Kampung Bakat di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Sanida berkata, antara anak pokok yang mendapat permintaan yang tinggi adalah lada, sawi, terung, kubis, timun dan sebagainya.
Menurutnya, setakat ini kirakira 100 jenis anak pokok ditawarkan dengan harga semurah RM1 sehingga RM25 mengikut jenis dan saiz anak pokok.
Dalam pada itu, dia berkata, orang ramai boleh mendapatkan produk tersebut secara walk-in ke kedai selain memperolehnya daripada ejen serta pemborong yang menjualnya di pasar tani.
"Sekarang ini kita ada empat hingga lima ejen yang aktif menjual produk dihasilkan. Selain itu, pemborong juga ada menjual di pasar tani di beberapa tempat di Terengganu dan Kelantan.
"Sebagai contoh pemborong itu menjual di pasar tani Kuala Besut, Kuala Besut, Permaisuri dan Tanah Merah, Kelantan. Jadi kita memang hasilkan produk ini setiap hari melibatkan tiga pekerja,” ujarnya.
Tambah Sanida, ada pelanggan yang datang dari jauh termasuk Kuala Lumpur, Perak dan Kedah datang untuk membeli anak pokok tersebut setiap kali singgah di Besut.
Beliau turut merancang untuk memperluaskan lagi laman landskap di Nasanida Hijauanbumi untuk tujuan lawatan dan kursus bagi orang ramai yang berminat berkenaan ilmu menanam sayur-sayuran di kawasan halaman rumah.
"Kita mahu memperluaskan keluasan landskap yang ada ini untuk beri manfaat kepada pengunjung. Jadi mereka boleh lawat dan melihat pelbagai jenis anak pokok yang ditanam di Nasanida Hijauanbumi.
"Niat kita bukan untuk berniaga dan raih keuntungan menerusi jualan produk itu semata-mata tetapi kita mahu berkongsi kepada pengunjung tentang ilmu penjagaan tanaman seperti cili dan sebagainya tanpa mengenakan sebarang bayaran,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!