SHAH ALAM - Seorang pelajar, Felina Amin berjaya membuktikan kaum Orang Asli juga boleh berjaya menyambung pengajian ke peringkat tertinggi selepas belajar di SMPC.
Dia yang memulakan pengajian awal di SJKC Panching, Kuantan Pahang kini sedang melanjutkan pelajaran di National Chiayi University, Taiwan.
Katanya, dengan bantuan dan sokongan daripada Yayasan Yuk Chai, dia telah melanjutkan pelajaran ke universiti berkenan.
"Pada awalnya saya merancang untuk melanjutkan pelajaran di Singapura dan China tetapi terpaksa melupakan hasrat disebabkan yuran pengajian yang tinggi.
"Akhirnya, saya memilih belajar di Taiwan dan bagi menampung kos pengajian dan kehidupan, saya turut melakukan kerja sambilan,” kata Felina.
Menurutnya, sebelum memasuki SJKC, dia langsung tidak mengetahui bahasa Cina dan mengakui ia sesuatu yang amat sukar lebih-lebih lagi dengan persekitaran asing.
Felina berkata, dia kini bersyukur kerana ketegasan ibu bapanya menghantarnya ke SJKC, kini dia mampu menguasai bahasa Mandarin dan akan menjadikan kelebihan itu dalam alam pekerjaan kelak.
NUR INAS PELAJAR MELAYU RAIH 7A SPM 2023
Sementara itu, Nur Inas Muhammad Adam, 18 merupakan antara pelajar contoh di Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan, Pahang dengan meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Beliau yang memperoleh keputusan 7A dan A- dalam bahasa Cina sekali gus dipilih Pelajar Model Sekolah Menengah 2023.
Nur Inas berkata, dia merupakan satu-satunya individu dalam keluarga yang belajar bahasa Cina.
"Saya mula belajar bahasa tersebut pada usia lima tahun ketika tadika dan seterusnya menamatkan pengajian selama enam tahun di SJKC.
"Kemudian saya memohon memasuki SMPC disebabkan persekitaran sekolah, budaya pembelajaran dan disiplin yang ditunjukkan oleh pelajar sekolah berkenaan,” katanya.
Menurutnya, jalan pendidikan yang dipilih memerlukan banyak pengorbanan serta sokongan daripada keluarganya.
Ibunya yang mahu dikenali sebagai Siti berkata, ketika Nur Inas berusia dua tahun, dia mempunyai perancangan untuk menghantar anaknya ke SJKC kerana kagum dengan aktiviti dan disiplin yang diamalkan selain percaya ia merupakan pilihan terbaik buat anaknya itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!