Kepentingan bahasa Inggeris
DALAM kita sibuk memperkasakan atau memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu ataupun bahasa kebangsaan dalam negara kita, kita tidak seharusnya mengabaikan sepenuhnya penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris.
Memang benar, bahasa Inggeris bukanlah bahasa asal negara kita dan memang benar bahasa Inggeris itu adalah bahasa penjajah.
Namun, kita tidak boleh terlalu emosi dalam isu penggunaan bahasa Inggeris kerana sama ada suka atau tidak, bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar terpenting dan paling utama di dunia pada masa kini.
Bahasa Inggeris juga adalah bahasa ilmu yang perlu dikuasai sekiranya ingin membawa negara kita bergerak ke hadapan.
Penggunaan bahasa Inggeris sudah lama dipraktikkan di dalam negara semenjak sebelum merdeka lagi.
Penggunaan bahasa Inggeris tidak membawa sebarang masalah yang besar terhadap kemajuan negara serta keamanan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.