DALAM masa terdekat ini, Pulau Pinang akan menghadapi pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Nor Zamri daripada Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.
Sehingga 2023, jumlah pengundi di DUN tersebut adalah 38,409 orang.
DUN Sungai Bakap adalah satu daripada tiga DUN dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal yang diwakili Menteri Pendidikan daripada PKR.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi DUN Sungai Bakap bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.
SPR menetapkan 22 Jun penamaan calon dan 6 Julai tarikh mengundi.
Pas dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) semestinya akan mempertahankan kerusi milik parti itu namun belum ada bayangan calon yang bakal bertanding.
Menurut Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff, isu pemilihan calon perlu dibincangkan bukan sahaja di peringkat Pas malah bersama pimpinan tertinggi PN.
Manakala bagi Pakatan Harapan (PH) pula, senarai nama calon berpotensi telah dihantar untuk diperhalusi bagi memastikan kerusi Sungai Bakap mampu dirampas daripada Pas.
Chow Kon Yeow selaku Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan bersatu hati untuk memberi laluan kepada PKR berikutan kerusi berkenaan pernah ditandingi calon daripada parti tersebut dalam PRN sebelum ini.
Malah dalam mesyuarat khas yang diadakan pada Isnin lalu, telah memperlihatkan kesemua wakil parti dalam Perpaduan termasuk rakan baru mereka, UMNO bertekad untuk 'all out' dalam berkempen bagi memastikan calon PKR menang di Sungai Bakap.
Persoalannya, mampukah PKR untuk memenangi DUN Sungai Bakap, tambahan pula calon yang bakal dipertaruhkan PKR dikatakan calon boleh menang.
Untuk rekod, DUN Sungai Bakap telah dimenangi PKR pada PRU12 (2008), PRU13 (2013) dan PRU14 (2018). Boleh dikatakan DUN Sungai Bakap adalah kubu kuat PKR.
Pada pandangan penulis, PKR boleh menang semula kerusi DUN Sungai Bakap pada PRK ini walaupun PKR telah kalah dengan lebih 1,500 undi pada PRN lalu dengan beberapa syarat.
Pertama, Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang perlu terlebih dulu menjawab isu kenaikan tarif air yang telah menimbulkan kemarahan majoriti rakyat di negeri itu.
Dijangka isu tarif air akan dimainkan oleh PN sepanjang tempoh berkempen ini.
Antara isu lain yang boleh mempengaruhi keputusan ialah harga barang, penyasaran subsidi diesel dan isu gangguan bekalan air di DUN Sungai Bakap.
Faktor-faktor ini jika tidak diperhalusi akan membolehkan kemenangan berpihak kepada Pas, tambahan pula ada pengundi UMNO yang tidak mengundi parti mereka sendiri, sebaliknya memberi undi kepada Pas.
Apa-apa pun, peratus keluar mengundi akan menjadi penentu seperti mana yang berlaku pada PRK-PRK lain.
Dalam PRN lalu, gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi iaitu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.
DAP merupakan penyumbang terbesar apabila menang kesemua 19 kerusi yang ditandingi.
BN hanya memenangi dua daripada enam kerusi yang ditandingi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang tujuh daripada 13 kerusi manakala Amanah hanya menang satu kerusi.
BN menang di kerusi Bertam dan Sungai Acheh manakala Amanah menang di Bayan Lepas.
PKR menang tujuh kerusi manakala PN PN menang di 11 daripada 40 kerusi yang ditandingi.
* Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah wartawan Sinar Harian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!