SABAK BERNAM - Pemandangan sawah menghijau terbentang luas dengan perkampungan di tengah bendang pastinya memukau pengunjung terutama bagi mereka yang kali pertama berkunjung ke Sekinchan.
Di sebalik lambaian pokok padi yang tumbuh menghijau, masih ramai tidak mengetahui tradisi penanaman padi.
Menyedari hakikat itu, Pengarah Urusan PLS Marketing, Allen Lim, mengambil inisiatif membina Muzium Padi Sekinchan di kawasan seluas 200x30 kaki persegi di kilang beras, PLS Marketing (M) Sdn Bhd (PLS Marketing).
Muzium yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari Pekan Sekinchan itu memberi pengalaman kepada generasi baharu selain menggamit nostalgia buat mereka yang pernah melalui zaman penanaman padi secara tradisional.
Menurut Allen, dia tidak mahu generasi masa kini melupakan kehidupan masyarakat dahulu yang menghasilkan beras.
"Saya mahu generasi muda terutama mereka yang tinggal di bandar tahu bagaimana padi ini diproses untuk dijadikan beras.
"Pengunjung yang singgah di Sekinchan sudah tentu teruja melihat pemandangan sawah padi yang mendamaikan, namun di sebalik keindahannya mereka juga mesti tahu proses dan peralatan digunakan sejak tanaman ini diperkenalkan di negara ini,” kata beliau.
Menurutnya, pembukaan muzium padi yang mula beroperasi pada 2012 itu membolehkan orang ramai mengenali dengan lebih dekat pelbagai jenis barangan dan peralatan lama berkaitan kegiatan penanaman padi.
"Setiap barangan yang terdapat dalam muzium ini mempunyai pengertian tersendiri sama ada dari sudut sejarah, fungsi atau usianya.
"Kita berharap pengunjung dapat menghayati kaedah serta kaitannya dengan kehidupan masa lalu mengenai industri makanan utama negara iaitu nasi yang dihasilkan melalui penanaman padi,” jelasnya.
TEKNOLOGI PADI
Allen memberitahu, terdapat lebih 50 artifak berkaitan penanaman serta pemprosesan padi berusia lebih 60 tahun di muzium itu.
"Antara artifak lama yang ada di muzium ini ialah kipas padi yang digunakan untuk memisahkan padi berisi dan hampa.
"Di dinding muzium ini juga, pengunjung dapat melihat proses penamaan padi, kaedah penanaman secara tradisional dan teknologi moden serta jenis varieti padi sah digunakan sejak 1964.
"Terdapat juga barangan antik masyarakat Melayu dan Cina yang tinggal di kawasan sawah satu masa dulu untuk tatapan generasi kini,” katanya.
Selain itu katanya, pengunjung turut diberikan penerangan dan taklimat mengenai pembangunan dan teknologi penanaman padi.
"Pengunjung akan diberi penerangan tentang proses pertanian padi, pelbagai jenis padi, peralatan dan alat yang digunakan dalam penanaman padi sepanjang zaman,” jelas Allen.
DAPAT BERAS PERCUMA
Tambah beliau, kebiasaannya pengunjung menghabiskan masa melawat muzium itu selama 30 minit dan pihaknya turut berbesar hati memberi cenderamata beras seberat 280 gram.
"Selesai melawat muzium, pengunjung akan terus ke pusat jualan beras. Mereka boleh membeli pelbagai jenis beras yang ditawarkan,” katanya.
Allen berkata, muzium di tingkat dua bangunan PLS itu dilengkapi penyaman udara bagi mewujudkan suasana tenang dan damai selain selesa.
"Muzium ini mampu memuatkan seramai 50 pengunjung dalam satu masa dan mereka diberikan taklimat semasa berada di dalamnya,” tambah beliau.
Katanya, pada masa ini, muzium itu bukan sahaja menarik pengunjung tempatan, malah menjadi tumpuan pelancong asing.
Rata-rata pengunjung yang singgah di Muzium itu terdiri daripada pelancong dari Arab Saudi, China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan negara Eropah lain.
Muzium itu juga pernah dilawati oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
"Muzium ini menerima kedatangan pengunjung yang ramai iaitu antara 1,000 hingga 2,000 orang terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan,” jelasnya.
Muzium tersebut dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan harga tiket masuk masuk yang dikenakan ialah RM5 seorang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!