Pendaftaran Budi Individu, Agri-Komoditi cecah 60,000

Iklan
Mohamad (kanan) dan Amir Hamzah (kiri) mengadakan lawatan di Projek De Lettuce Bear Marketing ketika menyertai Hari Terbuka Agri-Komoditi di MARDI Klang, pada Sabtu.

KLANG - Hampir 60,000 pendaftaran Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) membabitkan kategori Individu (Budi Individu) dan Agri-Komoditi diterima sejak dibuka 28 Mei lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 30,000 permohonan telah diluluskan setakat 3 Jun dan bakal menerima subsidi bulanan RM200 ke dalam akaun mereka, hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemilik kenderaan diesel yang memenuhi kriteria digalakkan membuat permohonan dan pendaftaran dibuka secara berterusan dengan anggaran 300,000 orang layak menerima manfaat tersebut.

"Budi Individu terbuka kepada mereka yang pendapatan tahunan kurang RM100,000, bermakna gaji sebulan RM8,000 layak dapat bantuan kerana subsidi ini membabitkan penyelarasan menyeluruh.

Iklan

"Program ini hanya untuk warganegara Malaysia. Ada kriteria bukan untuk kenderaan mewah, namun jika yang sudah berusia 10 tahun, ada diberikan kelonggaran juga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Hari Terbuka Agri-Komoditi yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di MARDI Klang pada Sabtu.

Iklan

Pada program itu, Amir Hamzah dan Mohamad meluangkan masa hampir dua jam melakukan sesi libat urus dengan 150 petani dan pekebun kecil sekitar daerah Klang.

Budi Madani merupakan usaha kerajaan memastikan peruntukan subsidi diesel disasarkan kepada golongan yang layak.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, sesi libat urus akan diteruskan bagi membuka sesi soal jawab dan penjelasan untuk orang awam lebih memahami tujuan penyelarasan subsidi dilakukan oleh kerajaan.

"Banyak ketirisan diesel berlaku menyebabkan peruntukan subsidi bagi tujuan itu pergi ke tempat lain atau sektor yang tidak berhak.

"Hasil penerangan tersebut, semua setuju penyelarasan diesel perlu dilakukan bagi mengelak kerugian wang rakyat secara berterusan.

"Cuma ada sesetengah pihak tidak tahu cara permohonan, jadi sesi libat urus ini kita adakan sesi soal jawab dan terangkan beberapa cara serta kategori yang boleh dibuat permohonan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, sesi penerangan itu penting bagi merungkai kekeliruan memandangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan banyak terlibat dalam penyelarasan subsidi diesel.

"Kekeliruan di peringkat awal adalah perkara biasa kerana ada sesetengah pekebun kecil kurang faham cara permohonan dan prosedurnya.

"Namun saya yakin, permasalahan itu mampu diselesaikan dalam sebulan dua ini dan akan menjadi lancar serta stabil dalam masa terdekat,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, pihaknya memberi jaminan semua petani dan pekebun kecil yang menggunakan kenderaan berkaitan pertanian layak menerima subsidi bersasar di bawah Budi Agri-Komoditi.

"Mereka yang terlibat dengan pertanian termasuk menggunakan lori untuk bawa padi ke kilang dan kenderaan lain yang membawa ikan serta hasil pertanian, semuanya akan dapat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!