ATHENS - Wartawan dan penyampai televisyen Britain, Michael Mosley ditemui mati di Pulau Symi, Greece.
Personaliti berusia 67 tahun itu yang menjadi wajah terkenal di TV Britain selama dua dekad ditemui pada pagi Ahad sekali gus, menamatkan pencarian selama empat hari termasuk pesawat, dron dan anjing pengesan.
"Sungguh menyedihkan kehilangan Michael, suami saya yang hebat, lucu, baik dan cemerlang. Kami mempunyai kehidupan yang sangat bertuah bersama. Kami sangat menyayangi satu sama lain," kata isteri Mosley dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Pulau Symi, Nikitas Grillis, Mosley hilang sejak Rabu lalu selepas bersiar-siar bersendirian di sepanjang laluan pantai dalam keadaan cuaca panas.
Jurucakap polis, Constantina Dimoglidou sebelum ini mendakwa mayat individu dipercayai Mosley ditemui di kawasan Agia Marina, sementara proses pengecaman mayat berkenaan masih belum selesai.
Menurut Grillis, Datuk Bandar Pulau Symi dan seorang wartawan sedang melakukan sesi penggambaran di kawasan Agia Marina antara yang awal melihat mayat personaliti itu.
Seorang lagi pegawai polis berkata, mayat Mosley ditemui di kawasan berbatu berdekatan dengan laut dan beliau menolak laporan awal yang mendakwa mayat terbabit ditemui di dalam sebuah gua.
Kataya, pihak polis sedang melakukan siasatan di tempat kejadian.
Mosley juga seorang doktor terkenal dengan rancangan"Trust Me, I'm a Doctor" berada di pulau berkenaan bersama isterinya dan kali terakhir dia dilihat masih hidup pada Rabu lalu jam 1.30 petang waktu tempatan.
Operasi mencari dan menyelamat terus dilakukan apabila Mosley dilaporkan hilang selepas bersiar-siar di sepanjang laluan pantai berbatu dari pantai Agios Nikolaos ke Kampung Pedi. - Awani/Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!