KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang kontraktor ditahan di sebuah stesen minyak di Wakaf Aik, Tawang, Bachok ketika sedang memenuhkan tong dengan diesel tanpa permit sah.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, lelaki berusia 29 tahun berkenaan ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang melakukan pemantauan.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kontraktor berkenaan datang ke stesen minyak menggunakan pacuan empat roda, Toyota Hilux untuk mengambil peluang itu selepas beberapa jam pengumuman pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi.
"Pemeriksaan lanjut mendapati dia membuat pembelian menggunakan kad debit," katanya ketika melaksanakan pemantauan di stesen minyak di Pasir Pekan, pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.
Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!