JOHOR BAHRU - Sebanyak 111 pemeriksaan di stesen-stesen minyak dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, susulan pengumuman penyasaran semula subsidi bahan api diesel pada Ahad.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pemeriksaan membabitkan stesen minyak di kawasan bandar dan luar bandar itu bermula pada jam 5 petang hingga 12 tengah malam.
"Pemeriksaan ini bertujuan memastikan pengusaha stesen minyak yang menjual bahan api diesel pada harga kawalan sedia ada sebelum harga baharu bahan api diesel dilaksanakan mulai jam 12.00 tengah malam tadi.
"Selain itu, pemeriksaan yang dilakukan bagi memastikan stesen minyak tidak melakukan aktiviti penyelewengan bekalan barang kawalan ini seperti menutup stesen minyak, kehabisan bekalan minyak diesel, elemen pam rosak, jualan bersyarat dan enggan menjual atau menyorok bekalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana telah melanggar syarat khas lesen dan Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
"KPDN Johor akan bertindak tegas, cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.
"Kami juga telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan dan maklumat," katanya lagi.
Pada Ahad, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!