Syarikat luar perlu sedia bantu Malaysia bangunkan industri pertahanan

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik antara Turkish Aerospace dan AIROD dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan. Foto Facebook Khaled Nordin

ANKARA - Syarikat luar yang berhasrat menjadi pembekal aset ketenteraan Malaysia perlu bersedia untuk membantu negara ini membangunkan sektor tertentu bagi menyumbang kepada industri pertahanan tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu sangat penting bagi negara ini membina keupayaan dan kemampuan dalam industri pertahanan supaya tahap kebergantungan Malaysia kepada negara luar bukan secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Ini antara usaha yang kita lakukan. Betul kita akan buat pembelian (aset ketenteraan) tetapi kita tidak mahu ia berakhir dengan pembelian sahaja. Pokoknya, mana-mana syarikat yang akan dinamakan nanti, mereka perlu ada 'roadmap' dan 'milestone'.

"Mindef (Kementerian Pertahanan) akan ukur sama ada berbaloi dan benar-benar memberi manfaat kepada perkembangan teknologi pertahanan negara,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan industri di Turkish Aerospace Industries (TUSAS) di sini.

Iklan

Mohamed Khaled dalam rangka lawatan rasmi ke Turkiye selama lima hari sejak Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Turkiye adalah antara negara yang bersedia untuk bekerjasama dan membantu Malaysia dalam soal membangunkan industri pertahanan tempatan.

Iklan

"Kelebihan Turkiye kerana mereka sanggup berkongsi serta memindahkan teknologi pertahanan kepada negara kita manakala pendekatan kita tidak semestinya mengeluarkan produk ataupun peralatan yang lengkap kerana kita boleh main peranan untuk menjadi pembekal kepada komponen-komponen produk berkenaan,” katanya.

Semasa lawatan itu, para delegasi diperlihatkan dengan kemajuan teknologi pertahanan dipamerkan Turkiye dan negara di sempadan benua Asia dan Eropah itu sudah berada di dalam kelas yang tersendiri.

Kawasan TUSAS yang berkeluasan empat juta meter persegi dan mempunyai pelbagai kemudahan antaranya gudang pemasangan utama, tarmac dan landasan bagi jet pejuang untuk memudahkan urusan pasukan teknikal melakukan ujian serta hangar.

Delegasi Malaysia turut disajikan dengan persembahan pertunjukan udara mini melibatkan helikopter kombat dikenali sebagai T129 Atak buatan terbaharu TUSAS dan jet tempur ringan Hurjet yang melakukan aksi akrobatik memukau.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya mempunyai cadangan supaya Malaysia juga dilengkapkan dengan helikopter kombat tetapi perkara itu belum dimuktamadkan.

"Memang kalau lihat kepada kajian Kertas Putih Pertahanan, negara memerlukan helikopter kombat, bukan hanya helikopter yang mengangkut barang dan juga anggota,” katanya yang percaya apa jua keputusan yang bakal dibuat perlu mengikut kemampuan negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!