KUALA LUMPUR - Seorang pemuda sanggup meredah 30 jam perjalanan dari luar negara semata-mata mahu membuat kejutan kepada ibunya sempena Tahun Baru Cina.
Pemuda dikenali The Ben Yap difahamkan tidak pulang ke kampung halaman sejak tiga tahun lalu dan tahun ini dia mahu memberi kelainan sempena perayaan tersebut.
"Tidak pernah merayakan Tahun Baru Cina dengan keluarga selama tiga tahun, jadi saya buat keputusan untuk mengharungi perjalanan selama 30 jam dan ibu boleh bertanya, 'kenapa saya berada di sini'," ciapnya.
Menerusi video berdurasi 37 saat memaparkan Ben Yap menunggu di dalam kereta sambil memerhatikan gelagat ibu yang tidak perasan kehadirannya.
Wanita itu berjalan diiringi suaminya menuju ke kereta sehinggalah suaminya membuka pintu hadapan kereta dan tidak menyangka apa yang dilihatnya susuk tubuh Ben Yap.
Ben Yap terus keluar dan memeluk ibunya yang tidak mampu menahan sebak sehingga mengalirkan air mata.
Mereka dilihat berpelukan antara satu sama lain bagi melepaskan kerinduan.
Sehingga kini, video tersebut ditonton lebih 248,400 tontonan dan ulang kongsi 8,400 dan 15,900 tanda suka daripada netizen.
Rata-rata netizen yang menonton video itu meluahkan rasa terharu dan gembira apabila melihat momen yang sememangnya menyentuh hati itu.
"Ibu awak sangat cantik dan gembira lihat video ini," luah Camelia.
Kata Aisha,"Sangat bagus untuk meraikan Tahun Baru Cina dengan keluarga! Sampaikan salam dan suka dengan ibu kamu! Dia sungguh cantik..."
Dalam pada itu, mereka juga sempat mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina buat keluarga itu yang bakal disambut Sabtu ini.