Keputusan representasi gugur kes isu stoking kalimah ALLAH, 15 Julai

Iklan

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, menetapkan keputusan representasi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, untuk menarik balik semua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan penjualan stoking tertera kalimah ALLAH, pada 15 Julai depan.

Tarikh sama ditetapkan bagi representasi syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd dan tiga pengarahnya atas isu serupa.

Iklan
Iklan

Hakim, Muhamad Anas Mahadzir menjadualkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat memaklumkan, representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) telah diperoleh.

Semasa prosiding, Khairul Azreem berkata, dokumen terbabit masih di peringkat pertimbangan dan kajian, maka pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk tujuan berkenaan.

Iklan

Mendengar perkara itu, peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili KK Chai atau nama sebenarnya Chai Kee Kan, 57, dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui, 53, tidak membantah perkara terbabit.

Sementara itu, selepas prosiding, peguam Lau Yi Leong, yang mewakili Xin Jian Chang dan tiga pengarahnya, mengesahkan bahawa mereka telah menghantar representasi.

Iklan

Untuk rekod, semua tertuduh telah mengemukakan representasi itu pada 17 Mei sementara AGC menerima dokumen terbabit pada 26 Mei.

Dalam prosiding ini, pembelaan turut diwakili peguam, Datuk David Gurupatham, Datuk RS Sodhi dan Datuk Theng Book serta Lau Yi Leong.

Selepas prosiding, Sodhi yang mewakili Kee Kan dan Siew Mui berkata, anak guamnya memohon agar pertuduhan itu digugurkan.

"Mereka tidak membuat tempahan stoking yang tertera kalimah berkenaan malah tidak mempunyai pengetahuan perkara tersebut.

"Jadi, anak guam saya tidak berniat untuk menghina Islam dan menyakiti perasaan umatnya," kata peguam berkenaan.

Pada 26 Mac lepas, Kee Kan dan Siew Mui yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah ALLAH di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lepas, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kee Kan yang juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore turut didakwa atas pertuduhan sama.

Sementara itu, syarikat pembekal yang mengedar barangan kepada KK Super Mart iaitu Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, didakwa atas pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah ALLAH pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pembekal itu ialah tiga beranak, suami, Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36;

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!