KPDN Perak mula pantau harga

Iklan
Kamalludin (dua dari kanan) bertemu pengunjung Jualan Rahmah sempena Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka, Seri Manjung di sini pada Isnin.

MANJUNG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mula memantau premis perniagaan di negeri ini bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barang keterlaluan susulan pelarasan harga runcit diesel yang diumum kerajaan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, susulan itu pihaknya telah melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 164 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN bersama 74 Pegawai Pemantau Harga digerakkan keseluruhan Perak bagi membuat pemantauan serta penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Fokus penguatkuasaan di bawah Ops Kesan 2.0 adalah untuk memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen-stesen minyak.

Iklan

"Saya juga mohon kepada orang ramai jika ada melihat terdapat kenaikan harga yang melampau ataupun tidak munasabah boleh laporkan kepada KPDN untuk kita siasat dan ambil tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka, Seri Manjung di sini pada Isnin.

Kamalludin berkata, pihaknya telah melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan pada 2 Mei lalu.

Iklan

Menurutnya, data tersebut akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan.

"Jika terdapat peningkatan harga yang luar biasa kita akan mengeluarkan notis makluman dan mereka perlu jawab. Jika terdapat unsur pencatutan, kita akan siasat dan seterusnya mengambil tindakan mahkamah.

"Kita akan ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Kalau kita tengok untuk syarikat mereka boleh didenda jika sabit kesalahan tidak lebih RM500,000 atau kali kedua denda tidak melebihi RM1 juta," katanya.

KPDN Perak menyediakan saluran aduan khas melalui talian 012-6654292 untuk membolehkan orang ramai untuk mengemukakan sebarang maklumat dan aduan berkaitan pelaksanaan Skim Kawalan Subsidi Diesel (SKDS), aduan caj, harga dan bekalan.

Selain talian khas tersebut, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat melalui WhatsApp 019-279 4317 dan 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

Pada Ahad, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani bermula tengah malam Isnin.

Susulan itu, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada tengah malam ini di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!