Slam masih berbisa, ubati rindu peminat di pentas DFP

Iklan
Slam berjaya memukau sekitar 920 peminat setia yang hadir menerusi 14 lagu hits mereka. Foto Bernama

CUKUP meriah dan mengembalikan nostalgia, itulah yang dapat digambarkan mengenai konsert Kumpulan Slam yang berlangsung hampir dua jam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Sabtu lalu.

Walaupun lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tempatan, kumpulan ini membuktikan mereka masih relevan dalam industri hiburan tanah air apabila berjaya memukau sekitar 920 peminat setia yang hadir menerusi 14 lagu hits mereka, termasuklah artis-artis popular, antaranya penyanyi, Misha Omar.

Iklan
Iklan

Bahkan, belum pun pentas dibuka, sorakan dan tepukan peminat sudah menghangatkan suasana dewan dan tepukan bertambah gemuruh sebaik semua anggota Slam dari Shah (gitar utama), Eddie (keyboard), Man (dram), Lili (gitar bass) dan Zamani (vokalis) muncul di atas pentas.

Segmen pertama pentas DFP Showcase: Slam, dibuka dengan pilihan lagu-lagu hits kumpulan itu seperti Nurkasih, Terasing Dalam Sepi, Kurnia, Entah Mengapa, Buat Seorang Kekasih dan Tiada Aku Jemu.

Iklan

Kelunakan suara Zamani yang masih padu, memukau penonton yang hadir sepanjang satu jam setengah konsert berlangsung.

"Sama macam dulu? Maaflah sebab (sekarang) sudah tua, walaupun kami tidak muda macam dulu, Insya-Allah masih boleh menghiburkan anda semua. Harap anda semua tidak jemu tengok kami," seloroh Zamani yang mendapat sorakan peminat.

Iklan

Sepanjang persembahan berlangsung, Zamani tidak putus-putus mengucapkan terima kasih buat peminat yang hadir pada malam itu serta memberi sokongan sejak awal kemunculannya.

Zamani turut melahirkan rasa terharunya apabila doktor yang merawat penyakit Skoliosis dialaminya turut hadir pada malam tersebut.

"Terima kasih Dr Hisyam hadir malam ini. Beliau adalah individu yang (bertanggungjawab) meluruskan (tulang belakang) saya yang bengkok sikit sebelum ini. Walaupun, tidak lurus betul. Alhamdulilah bertambah baik," ucapnya.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri seni, anggota kumpulan Slam ternyata bijak mencuri perhatian peminat yang hadir dengan aksi bersahaja mereka di atas pentas.

Pada segmen kedua, Slam membawakan lagu Kembali Merindu, Tak Mungkin Berpaling, Mentari Muncul Lagi, Rayuan Di Puncak Genting, Malam Dan Semalam serta Kembali Terjalin yang membuatkan penonton turut sama menyanyi.

"... malam ini kita tidak akan menyanyikan lagu Gerimis Mengundang... sebab dah selalu sangat," seloroh Zamani sambil meninggalkan pentas seolah-olah persembahan mereka sudah berakhir.

Suasana itu mencetuskan sedikit kekecohan yang menyebabkan penonton mula berteriak 'we want more' berulang kali dan hanya kembali reda apabila ahli kumpulan itu masuk semula ke dalam dewan lantas mengambil posisi masing-masing.

Sebagai bonus, kumpulan muzik legenda itu mendendangkan dua lagi lagu iaitu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta nyanyian asal Flybaits dan Gerimis Mengundang, sekali gus mendapat tepukan sanjungan daripada penonton yang rata-rata berpuas hati dengan alunan vokal keramat Zamani dan persembahan keseluruhan kumpulan itu yang berjaya merawat kerinduan peminat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!