CARLOS Alcaraz melakar sensasi apabila muncul pemain termuda menguasai kesemua tiga permukaan gelanggang selepas merangkul kejuaraan Terbuka Perancis di Paris pada malam Ahad.
Kejayaan tersebut diraih selepas pemain berusia 21 tahun itu menewaskan pemain Jerman, Alexander Zverev, 6-3, 2-6, 5-7, 6-1 dan 6-2 di Roland Garros.
Pemain Sepanyol itu sebelum ini meraih gelaran Grand Slam di Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS) sekali gus melengkapkan penguasaannya di gelanggang tanah liat, rumput dan keras.
Kejayaan itu juga membolehkan Alcaraz menyertai kelompok pemain elit seperti Mats Wilander, Jimmy Connors, Andre Agassi, Roger Federer, Rafa Nadal dan Novak Djokovic.
Alcaraz menyifatkan kejayaan tersebut adalah detik paling membanggakan dalam kariernya.
"Saya menganggap diri saya sebagai pemain yang tidak perlu terlalu banyak perlawanan untuk berada pada tahap 100 peratus.
"Kejayaan ini sangat istimewa," katanya yang baru pulih daripada kecederaan lengan kanan.
Alcaraz turut mengimbas detik manis merangkul kejuaraan Terbuka AS dan memenangi Wimbledon yang diimpikan sejak berjinak-jinak dengan sukan tersebut.
"Memenangi Terbuka AS (pada 2022) ketika kali pertama saya bergelar pemain nombor satu dunia adalah sesuatu yang diimpikan sejak mula bermain tenis, menang gelaran Grand Slam pertama.
"Cara saya menang di Wimbledon (pada 2023) dengan mengalahkan Djokovic dalam pertarungan lima set adalah pencapaian hebat buat saya.
"Sekarang, menjulang trofi Roland Garros selepas apa yang saya lalui sebelum ini termasuk kecederaan, saya tidak pasti.
"Mungkin, ini adalah detik sangat saya bangga kerana apa yang dilakukan bulan lalu semata-mata untuk bersedia bagi kejohanan ini bersama pasukan. Banyak yang kami lakukan," ujar Alcaraz.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!