KUALA NERUS - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang mengkaji undang-undang bersesuaian bagi mengurangkan penggunaan plastik susulan masalah pencemaran bahan tersebut di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memastikan masalah pencemaran plastik dapat ditangani secara lebih berkesan berikutan dijangka mencapai tahap kritikal dengan jumlah sampah yang banyak terdapat di laut menjelang 2025.
Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk memasang 'log boom’ atau perangkap sampah sebagai usaha menghalang sampah tersebut daripada masuk ke dalam laut.
"Jika tidak bersih maka akan menimbulkan masalah seperti banjir dan sebagainya. Kita sudah ada hala tuju ke arah atau ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan juga 'Malaysia’s Plastics Sustainability Roadmap 2021 – 2030'.
"Jadi kita nak tengok adakah boleh buat satu perundangan di peringkat nasional untuk kita kurangkan sisa plastik di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Program Jelajah Kelestarian Alam Santuni Golongan Belia di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, penggunaan plastik sekali guna hanya pada tempoh yang singkat, namun kesannya kepada alam sekitar pada jangka masa panjang.
"Plastik sekali guna ini hanya diguna beberapa minit sebagai contoh botol air mineral, bungkusan dan sebagainya.
"Jadi kalau kita ada alternatif lain kurangkan penggunaan bungkusan (plastik) dengan memakai bahan dipakai semula adalah lebih baik," ujarnya.
Nik Nazmi berkata, dunia berdepan masalah lambakan sisa plastik dan sampah yang mampu mencemarkan lautan sekali gus membunuh ekosistem marin jika tidak dikawal segera.
"Berdasarkan kajian yang diterima mendapati menjelang 2050 berat sisa plastik di lautan akan mengatasi berat ikan.
"Cabaran besar plastik ini sebab tidak terurai. Kalau sampah lain diperbuat daripada kertas, kadbod atau kain kapas akan terurai selepas beberapa tahun tetapi kalau plastik anggarannya selama 500 tahun (untuk terurai)," jelasnya.
Justeru, beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna selaras dengan pelan tindakan yang digariskan menerusi Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!