MARANG - Selepas 19 tahun berpindah-randah dan menyewa hampir 10 buah rumah, pasangan suami isteri dari Kampung Laut, Kuala Terengganu menganggap Rumah Mampu Milik (RMM) yang dimiliki merupakan hadiah istimewa sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Yushazizi Yusof, 37, berkata, dia dan isteri Nora Syuhada Ali, 36 mula mengisi borang untuk memohon rumah berkenaan selepas mendirikan rumah tangga ketika masing-masing berusia 18 dan 17 tahun.
Menurutnya, sepanjang tempoh berpindah-randah itu, dia membesarkan anak dengan menyewa rumah berharga antara RM200 hingga RM500 sebulan.
"Saya tak ingat kali ke berapa isi borang untuk mohon rumah ini tapi banyak kali juga kami cuba buat permohonan dan kali terakhir tahun lepas.
"Waktu kahwin, kami terus fikirkan pasal rumah sebab kami bertemu jodoh awal selepas tamat persekolahan dan hidup berdikari sejak awal.
Bapa kepada tiga anak yang bekerja sebagai tukang rumah itu berkata, dia sama sekali tidak menyangka terpilih untuk menerima RMM yang terletak di Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, di sini.
"Saya bersyukur dan ketika terima surat tak tergambar perasaan... lagipun dah dekat Raya Haji, mungkin saya akan sambut Aidiladha di sini," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Nor Wadiah Sulong, 28, dari Kampung Tanjung Kedai Buluh berkata, dia mula memohon rumah berkenaan sejak 30 Disember 2022.
"Masa dengar keluar borang saya segera mohon dan bersyukur sebab tak perlu menunggu lama.
"Selama ini saya tinggal di rumah emak bersama sembilan ahli keluarga yang lain," katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.
Projek RMM Kemas Sejahtera yang dibangunkan di atas tanah seluas dua hektar itu merupakan hasil usaha sama kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).
Projek pembinaan 50 unit rumah berkembar itu telah bermula sejak 5 Februari 2018 namun tergendala akibat masalah teknikal dan diteruskan pada 12 Julai 2022.
Perumahan itu telah siap sepenuhnya dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 18 Ogos tahun lalu dengan kos keseluruhan pembinaan menelan belanja RM6 juta.
Nilai seunit RMM itu ditetapkan RM40,000 namun harga dijual kepada peserta sebanyak RM20,000 di mana MoF telah memberi subsidi sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang dibangunkan.
Baki sebanyak RM20,000 lagi akan dibiayai oleh peserta menerusi pinjaman Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan bayaran bulanan serendah RM196 sepanjang 10 tahun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!