Penubuhan OKK wujud zon selamat

Iklan
Aiman Athirah (tengah) melakukan gimik perasmian Seminar OKK Bagi Premis Ditetapkan Tahun 2024 Peringkat Kedah dan Perlis di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah pada Isnin.

ALOR SETAR - Penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di premis ditetapkan dapat mewujudkan zon selamat, sekali gus memastikan keselamatan dan menjaga nyawa jika berlaku insiden kebakaran.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, keseriusan kerajaan terhadap keselamatan adalah jelas dengan penubuhan OKK di bawah Seksyen 27A Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Iklan
Iklan

Jelas beliau, OKK memainkan peranan penting dalam memastikan komuniti terhindar daripada bahaya kebakaran.

"Ketidakpatuhan dengan seksyen ini oleh pemilik premis, penduduk atau mereka yang mempunyai kawalan pengurusan penuh boleh menyebabkan denda tidak melebihi RM 50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Iklan

"Pemilik, penghuni atau orang yang mempunyai pengurusan sepenuhnya ke atas premis ditetapkan dan lain-lain pemain industri ditekankan untuk mematuhi kehendak-kehendak telah ditetapkan seperti termaktub dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran Bagi Premis Ditetapkan Tahun 2024 Peringkat Kedah dan Perlis di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau menambah, matlamat utama peraturan dan standard keselamatan kebakaran dilaksanakan kerajaan bagi meminimumkan risiko serta kerugian yang mungkin timbul akibat insiden kebakaran agar keselamatan awam terjamin.

Beliau menyifatkan, pematuhan terhadap langkah-langkah keselamatan kebakaran di dalam bangunan atau premis yang ditetapkan amat penting dalam mewujudkan zon industri selamat dan ruangan kerja yang kondusif.

Menurutnya, ia juga bagi menjamin kesejahteraan komuniti dan masyarakat sentiasa terhindar daripada segala merbahaya akibat kebakaran.

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 321 premis di Kedah dan Perlis disenaraikan dalam kategori premis ditetapkan meliputi 42 agensi kerajaan dan 279 entiti swasta dengan hanya 248 premis ditetapkan ataupun 77 peratus mempunyai Sijil Perakuan Bomba sah pada 2024.

Kata Aiman Athirah, selebihnya, kira-kira 23 peratus lagi premis ditetapkan telah tamat tempoh Perakuan Bomba, Notis FC6, Notis FC7 (penyediaan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan) dan juga premis yang belum memohon FC serta masih dalam proses permohonan FC.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui JBPM berharap agar seminar itu dapat memberikan pemahaman mendalam tentang undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.

Aiman Athirah turut berharap seminar terbabit menjadi medium mencipta jaringan dan jalinan kerjasama antara pihak jabatan kerajaan, golongan profesional, badan-badan swasta dan pemain industri.

Sebelum itu, seminar disertai lebih 600 peserta terdiri daripada pemilik premis dan pegawai-pegawai keselamatan kebakaran di premis mempunyai risiko keselamatan kebakaran tinggi, badan profesional dan masyarakat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!