KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Usaha penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan Madani pada masa ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan ketirisan dan menambah lebih banyak inisiatif bantuan kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Ini kerana penjimatan yang diperoleh melalui penyasaran semula subsidi boleh disalurkan terus kepada rakyat melalui lebih banyak insiatif yang akan dilaksanakan kerajaan, dan seterusnya menambah pendapatan rakyat, di samping mengelak pemberian subsidi itu jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, dalam isu subsidi diesel, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan bahawa negara kehilangan RM1.25 juta sehari akibat ketirisan dan penyeludupan diesel, jumlah itu cukup besar jika dapat digunakan untuk melaksana inisitiatif bantuan untuk rakyat.
"Ada (dilaporkan) satu lori ditangkap hampir tengah malam (tadi).. cuba mengisi diesel dan menyeludup 4,800 liter diesel, (penyasaran subsidi diesel) diumumkan pukul 5 petang, berkuat kuasa tengah malam, masihh ada lagi pihak yang cuba curi diesel,” katanya di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi untuk Zon Sabah dan Labuan, yang menyaksikan 69 petugas kementerian itu menerima anugerah masing-masing.
Semalam Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.
Sementara itu Fahmi berkata subsidi diberikan kerajaan yang bocor ke negara lain pula perlu dibanteras, dan kebocoran itu dapat dielakkan dengan penyasaran subsidi, supaya rakyat yang sepatutnya layak, dapat menikmati subsidi berkenaan.
Beliau berkata bagi memberikan secara terus penjimatan subsidi diesel kepada rakyat di Semenanjung, kerajaan melaksanakan BUDI MADANI bantuan tunai RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
"..MOF (Kementerian Kewangan) meneliti dan cadangkan RM200 sebulan. Seramai 30,000 orang akan mula menerima (bantuan) mulai hari ini," katanya. - Bernama