JOHOR BAHRU - Belum sembuh tangan kanan patah akibat terjatuh di tempat kerja pada Februari lalu, seorang wanita warga emas sekali lagi patah tangan kanannya selepas terlibat kemalangan bulan lalu.
Akibat kemalangan itu, Fatimah Sazali, 60, dari Taman Universiti, Skudai dekat sini yang bekerja sebagai tukang cuci terpaksa melanjutkan cuti sakit kerana tangan kanannya disimen semula.
Menceritakan kembali kemalangan berlaku pada 30 Mei lalu, dia dan tiga cucunya dalam perjalanan ke rumah menaiki kereta dipandu anak keduanya, Noor Aziema Hashim, 38.
"Noor Aziema terlelap ketika memandu, mungkin kepenatan kerana dia bekerja syif malam.
"Kemalangan berlaku sekelip mata dan apabila sedar, saya lihat Noor Aziema dan cucu-cucu berlumuran darah," katanya.
Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Nasir Ishak di kediamannya pada Isnin.
Bercerita lanjut, Fatimah berkata, akibat kemalangan itu, tulang rusuk Noor Aziema patah lapan manakala dua cucunya yang berusia 17 dan 19 tahun cedera.
"Anak perempuan Noor Aziema berusia dua tahun bagaimanapun tidak cedera.
"Noor Aziema bekerja di bahagian kawalan kualiti di kilang masih dirawat di hospital dan dijangka mengambil masa lama untuk sembuh.
Kata Fatimah, dia kini hanya bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah bagi menampung perbelanjaan keluarga.
"Perbelanjaan kami memang tinggi buat masa ini kerana keadaan saya mahupun dua cucu masih belum stabil dan memerlukan rawatan susulan," katanya.
Dia bersyukur kerana keluarganya menerima sumbangan daripada MAINJ yang dapat meringankan beban terutama untuk membeli ubat-ubatan.