Nilai rampasan pencerobohan nelayan asing di Terengganu RM13.5 juta

Iklan
Sebuah lagi bot nelayan Vietnam ditahan selepas dikesan menceroboh perairan negara Sabtu lalu.

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 13 kes pencerobohan nelayan asing direkodkan di Terengganu sepanjang tempoh lima bulan tahun ini dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM13.5 juta.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, ia turut melibatkan seramai 103 tekong dan kru yang ditahan selepas bot dinaiki mereka dikesan menceroboh perairan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tangkapan terbaharu melibatkan sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan kapal peronda Maritim ketika menjalankan pemantauan menerusi Op Naga Barat Sabtu lalu.

"Mereka juga disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa arahan daripada Ketua Pengarah Perikanan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Tekong dan kru bot nelayan Vietnam berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun ditahan setelah gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri yang sah.

Iklan

Jelas beliau, pihaknya turut melakukan rampasan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1 Juta.

"Tekong bersama kru bot berkenaan telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut. Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Iklan

"Jika sabit kesalahan tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta manakala setiap kru berdepan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun," ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, Maritim Terengganu terus meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar perairan negara khususnya di Pantai Timur.

"Aset-aset diatur gerak bagi melakukan rutin rondaan sehingga ke sempadan perairan negara untuk mengekang kejadian pencerobohan, penyeludupan dan jenayah laut yang lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!