KOTA BHARU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan mengkaji semula mekanisme terhadap Sistem Kawalan Diesel Subsidi kerana didakwa tempang hingga semakin membebankan rakyat akibat kos sara hidup yang akan meningkat.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, rata-rata rakyat sudah mula mencongak nasib mereka jika harga petrol juga sama dinaikkan.
Menurut beliau, kerajaan memperkenalkan Sistem Kawalan Diesel Subsidi yang membolehkan kenderaan tertentu membeli minyak pada harga murah tetapi sebahagian besar kenderaan lain terpaksa membeli pada harga mahal.
"Kerajaan mengambil jalan penyelesaian separuh masak dengan Bantuan Budi Madani iaitu pemberian tunai RM200 kepada pengguna diesel yang layak sekali gus memberi reaksi daripada pengguna kenderaan diesel yang yakin jumlah itu tidak mencukupi.
"Kerajaan seharusnya lebih prihatin dalam memberikan bantuan kepada rakyat yang rata-rata melihat bantuan itu tidak mencukupi dan tidak berpatutan, jangan mangsakan rakyat hanya kerana pelaksanaan dasar Madani yang separuh masak dan tempang,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya pada Isnin.
Menurut beliau, kerajaan mungkin menganggap sesetengah industri logistik sebagai ‘ibu’ kepada segala kos yang kononnya apabila sesetengah kenderaan mendapat minyak murah, maka harga semua barang tidak naik, tetapi dalam dunia sebenar semua industri umumnya ada pengangkutan barang sendiri.
Katanya, dasar subsidi untuk kenderaan terpilih menjejaskan tabiat operasi semua industri dan kerajaan seolah-olah memaksa para peniaga mengubah sistem mereka secara tiba-tiba.
"Kami yakin jika dasar sebegini dibuat dalam harga petrol, malapetaka besar akan menimpa rakyat kerana petrol bukan sahaja untuk peniaga malah seluruh rakyat Malaysia.
"Tidak hairan jika rakyat kelak terpaksa mengubah tabiat berbelanja secara tiba-tiba,” katanya.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, pihaknya tidak lihat falsafah atau mekanisme tersebut dalam dasar diesel dan beranggapan barangkali Anwar berfikiran pemilik syarikat logistik bukan maha kaya.
"Jika golongan maha kaya pemilik firma logistik mengalami kenaikan kos minyak, hanya keuntungan mereka yang akan berkurangan yang tidak membawa mereka kepada gulung tikar.
"Kerajaan jelas menunjukkan ketidakcekapan mereka dengan sistem Sistem Pangkalan Data Utama sebelum ini dan sekarang BUDI Madani pula tidak efisen,” katanya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!