SHAH ALAM - Sebuah firma perunding komunikasi media dan pemasaran, Citrine One Sdn Bhd (Citrine One) mendedahkan bahawa terdapat portal berita yang beroperasi di negara ini tetapi dimiliki oleh warga asing.
Bagaimanapun Pengasas dan Ketua Penasihat Komunikasi Krisis Citrine One, Ivlynn Yap Cheng Theng tidak mendedahkan nama portal berita berkenaan.
Sebaliknya Ivylnn menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut.
Dalam pada itu katanya, semua agensi berita di negara ini perlu memiliki lesen atau permit sah dengan mematuhi etika kewartawanan secara profesional.
"Kita harus faham media alternatif ada bukan cetak dan ada dalam bentuk portal yang tulis berita politik serta lain-lain.
"Mungkin dikawal atau dikelola oleh pemilik portal. Ada beberapa portal, pemiliknya adalah bukan warganegara Malaysia.
"Daripada pemerhatian kami mendapati ada portal yang membangkitkan isu sensitif untuk dapat 'like' dan trafik yang banyak," katanya.
Ivlynn berkata demikian selaku panelis Wancana Sinar Harian Siri 151 bertajuk Rukun Negara: Di Manakah Nilai-Nilai Hidup Rakyat Malaysia? di Dewan Karangkraf di sini malam tadi.
Wacana tersebut turut dibarisi dua panelis lain iaitu Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Profesor Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad dan Pensyarah Sosialis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Arba, Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.
Menurut Ivlynn, terdapat penulis di portal berita yang tidak mempunyai latihan sebagai wartawan profesional.
Katanya, wartawan bukan sekadar menulis dengan memetik pihak tertentu sebaliknya memastikan kesahihan sesuatu perkara.
"Apa yang perlu kita fokus sekarang ialah wartawan alam maya. Misalnya bila ada kemalangan, tulis Cina langgar Melayu, India langgar Cina dan sebagainya.
"Dalam kewartawanan, perkara ini dilarang. Tidak boleh tulis bangsa, kita mesti patuh dan tegakkan prinsip Rukun Negara.
"Kita semua kena main peranan. Jangan tulis perkara membuatkan orang lain beremosi tidak baik," katanya.