SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersama Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas berkaitan isu kewarganegaraan di Sabah.
Menurut kenyataan bersama itu, hal warga tanpa negara membabitkan Bajau Laut menjadi isu yang kompleks dan tidak boleh diselesaikan secara mudah.
"Kami mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan pihak berkuasa, ketua masyarakat setempat, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih komprehensif terutamanya dalam usaha merangka satu pelan jangka masa panjang bagi menoktahkan isu ini.
"Jawatankuasa ini perlu berfungsi dalam menyediakan perancangan secara lebih tersusun serta menilai kembali perundangan, dasar dan prosedur yang sedia ada terutamanya dalam isu kewarganegaraan,”kata kenyataan itu pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew menjelaskan, tindakan mengusir komuniti Bajau Laut di Semporna adalah sah susulan notis arahan pengosongan diedarkan bermula 2 Mei hingga 4 Mei lalu.
Menurutnya, operasi itu dijalankan atas faktor keselamatan susulan insiden tembakan di Teluk Darvel serta kegiatan jenayah rentas sempadan di lokasi berkenaan.
Mengulas lanjut, AMK dan MKM berkata, isu tersebut memerlukan penyelesaian bersifat lebih konstruktif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan mengutamakan pandangan masyarakat setempat khususnya rakyat Sabah.
"Kami berdukacita akan kes pengusiran dan pemusnahan beberapa kampung komuniti Bajau Laut yang melibatkan 273 rumah di tujuh pulau kawasan Taman Marin Tun Sakarin.
"Hal ini melibatkan 1,500 penduduk Bajau Laut. Kami melihat tindakan ini bertentangan dengan nilai manusiawi serta secara tidak langsung mencemarkan imej negara,” ujarnya.
Tambah kenyataan bersama itu, AMK dan MKM yakin penyelesaian isu kewarganegaraan adalah satu keutamaan buat kerajaan demi mengangkat rukun ihsan dalam Malaysia Madani serta prinsip keadilan sosial yang dijulang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Kami percaya bahawa kerajaan sedia ada mampu membuktikan serta komited dalam mendepani cabaran ini selari dengan gagasan reformasi,” kata kenyataan itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!