BAGAI bulan jatuh ke riba. Begitulah yang mungkin dirasai oleh pelakon dan pengacara, Elfira Loy apabila mendapat jemputan menunaikan ibadah haji.
Ujar pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu, tawaran yang diberikan oleh Kementerian Media Arab Saudi itu dianggap sebagai panggilan sangat istimewa.
"Masih lagi dalam keadaan tak percaya, tapi inilah nikmat yang paling saya syukuri dan tak sangka ALLAH nak makbulkan doa saya yang hina ini.
"Semua ini terjadi dalam masa seminggu sahaja. Allahuakbar...Saya menyambut baik panggilan ALLAH melalui sambutan haji di bawah Kementerian Media Arab Saudi.
"Jemputan ini adalah di saat terakhir ketika semua perancangan mereka telah selesai tapi saya anggap inilah panggilan yang sangat istimewa," katanya.
Lebih manis, wanita berusia 30 tahun itu menerima jemputan tersebut hanya selepas beberapa hari menghantar ibunya berlepas ke Makkah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
"Saya Nurul Elfira Loy dengan rendah diri memohon maaf seandainya saya ada terguris hati dan buat anda tak senang dengan saya. Maafkan saya ya.
"Doakan semoga perjalanan saya tenang, mudah, selamat dan semoga saya peroleh haji mabrur," kongsinya menerusi Instagram.
Ibu kepada dua cahaya mata itu yang baru sahaja berlepas pada pagi Isnin turut berterima kasih kepada rakan-rakan yang membantunya membuat persiapan pada saat akhir.
"Saya sangat terharu apabila ramai kawan-kawan yang bantu siapkan baju, hantar tudung. Terima kasih sangat-sangat..." katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!