KUCHING - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyarankan kerajaan Persekutuan agar mencari dan meneroka tenaga alternatif yang murah serta mampan bagi menggantikan penggunaan diesel di seluruh Malaysia.
Beliau berkata, usaha jangka panjang itu akan turut menghapuskan subsidi diesel yang perlu ditanggung oleh negara.
"Kalau (rakyat) masih menggunakan diesel dan minta subsidi, nanti bila harga naik rakyat minta lagi... jadi mengapa tiada tenaga alternatif supaya tidak perlu lagi guna diesel,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 di sini pada Isnin.
Abang Johari berkata, sebagai contoh, kerajaan boleh meneroka penggunaan tenaga boleh baharu seperti hidrogen yang giat dilaksana oleh kerajaan Sarawak.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.
Di bawah Budi Madani, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
Pendaftaran bagi Budi Madani dibuka mulai 28 Mei lepas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sebanyak 30,000 pemilik kenderaan diesel menerima bantuan itu bermula hari ini. - Bernama